Wang dicuri dari 1MDB akan dibawa balik ke Malaysia - Tun M

Bernama
November 13, 2018 19:21 MYT
TUN M: Jika seseorang didapati telah melakukan jenayah mengikut undang-undang, maka dia akan dihukum dengan hukuman setimpal mengikut proses undang-undang. - Gambar fail
Wang yang dicuri dari dana 1Malaysia Development Bhd (1MDB) sebanyak US$4.3 bilion akan dibawa balik ke Malaysia walaupun mungkin tidak kesemuannya, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini.
"DOJ (Jabatan Keadilan Amerika Syarikat) kata jumlahnya kira-kira US$4.3 bilion. Kita berharap untuk mendapat balik jumlah itu tetapi mungkin sebahagian besar daripada jumlah itu telah hilang sebelum ini," katanya. Bagaimanapun, wang itu mungkin tidak dapat dibawa balik dalam masa yang cepat kerana terdapat pelbagai proses yang terlibat, kata beliau.
"Mula-mulanya anda perlu membuktikan bahawa wang itu adalah milik anda. Setelah anda dapat membuktikannya sudah tentulah ada proses-proses yang harus dilalui. Mereka bukan boleh sekadar mengutipnya lalu menyerahkannya kepada anda di depan kaunter.
"Jadi, sudah tentu ia akan mengambil masa. DOJ telah berjanji akan memulangkan wang itu kepada kita," katanya pada sidang media, semasa ditanya sama ada Malaysia sudah mengemukakan permohonan rasmi untuk membawa balik wang itu.
Ditanya sama ada Malaysia akan mengenakan tindakan-tindakan menghukum terhadap bank pelaburan Amerika, Goldman Sachs Group, yang terlibat dalam skandal 1MDB dan sedang disiasat oleh DOJ, Dr Mahathir berkata: "Kami yakin kepada kedaulatan undang-undang."
Goldman Sachs memperoleh bayaran kira-kira US$600 bagi urusan dengan 1MDB itu, termasuk tiga penawaran bon pada 2012 dan 2013 yang telah mengumpul dana sebanyak US$6.5 bilion.
Menurut laporan, pihak pendakwa Amerika Syarikat telah memfailkan pertuduhan jenayah terhadap dua bekas jurubank Goldman Sachs awal bulan ini. Seorang daripadanya, Tim Leissner, mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan konspirasi pengubahan wang dan berkonspirasi untuk melanggar undang-undang di bawah Akta Amalan Rasuah Luar Negara.
"Jika seseorang didapati telah melakukan jenayah mengikut undang-undang, maka dia akan dihukum dengan hukuman setimpal mengikut proses undang-undang. Tidak kiralah siapa dia. Dia mungkin Goldman Sachs atau mungkin sesiapa jua."
Justeru, jika mereka didapati telah melanggar undang-undang dan terdapat bukti yang mencukupi maka kerajaan Malaysia akan mengambil tindakan mengikut undang-undang, kata beliau.
#1MDB #Akta Amalan Rasuah Luar Negara #Amerika Syarikat #DoJ #Goldman Sachs #Jabatan Keadilan Amerika Syarikat #Mahathir Mohamad #pelaburan #Perdana Menteri
;