'Wang di akaun Najib adalah hak dan rahsia peribadinya' - Tun Faisal

Wan Syamsul Amly
Julai 30, 2015 21:28 MYT
TUN FAISAL: 'Wang di akaun Najib adalah hak dan rahsia peribadinya' - Gambar fail
Wang di dalam akaun peribadi Datuk Seri Najib Tun Razak merupakan hak dan rahsia peribadi Perdana Menteri itu sendiri.
Panel Pemikir Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Tun Faisal Ismail Aziz berkata, ia juga tidak perlu diisytiharkan kepada orang ramai seperti wang yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi milik masing-masing.
"Lainlah jika ada dakwaan bahawa duit itu datang dari sumber yang salah. Barulah seseorang itu perlu membuat perisytiharan, tetapi bukan kepada umum. Dia hanya perlu buat perisytiharan kepada pihak berkuasa yang membuat siasatan.
"Apabila ada pihak yang hendak masukkan sejumlah wang ke dalam akaun peribadi seseorang sebagai bantuan dana politik, itu adalah bantuan dana politik kepada individu tersebut. Terserahlah bagaimana dia hendak menggunakannya asalkan tidak untuk tujuan yang menyalahi undang-undang sebab itu dana politik peribadinya. Sama ada dia hendak menggunakannya untuk membantu orang, hendak diberikan kepada jentera atau apa saja, itu adalah hak beliau.
"Lainlah jika bantuan dana tersebut dimasukkan dalam akaun parti, persatuan, yayasan atau syarikat, barulah dikatakan bahawa dana tersebut untuk parti, persatuan, yayasan atau syarikat. Sekiranya ini berlaku, maka parti, persatuan, yayasan dan syarikat tersebut hanya boleh membelanjakan wang tersebut mengikut perlembagaan dan peraturan yang ditetapkan," katanya dalam catatan terbaharu di blog http://tunfaisal.blogspot.com miliknya.
BACA: Dakwaan Muhyiddin wang 1MDB masuk ke akaun Najib tidak betul - Ahmad Maslan
Tun Faisal mengulas video pendek berdurasi 57 saat yang dimuat naik Malaysiakini pada Rabu yang menunjukkan bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sedang berbual dengan beberapa tetamu antaranya Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir dan Tan Sri Kadir Sheikh Fadzir di kediamannya Selasa lalu.
Dalam perbualan mereka itu, Muhyiddin menyebut Najib pernah mengakui kepadanya bahawa terdapat sejumlah besar wang dipindahkan ke akaun peribadinya.
Kata Tun Faisal, situasi sama juga apabila seorang Ketua UMNO bahagian yang tidak perlu mengisytihar wang yang dimasukkan ke akaun peribadinya.
"Misalnya, jika ada seorang individu hendak membantu seorang Ketua UMNO Bahagian, dan jika dia masukkan duit tersebut ke dalam akaun peribadi Ketua UMNO Bahagian tersebut, maka itu adalah dana untuk kegunaan politik peribadi Ketua UMNO Bahagian itu.
"Hanya jika wang tersebut masuk akaun persatuan, yayasan atau syarikat yang dimiliki oleh Ketua UMNO Bahagian tersebut, barulah perinciannya perlu dinyatakan dalam penyata kewangan persatuan, yayasan atau syarikat yang dimiliki tadi dan dibelanjakan mengikut perlembagaan dan peraturan yang ditetapkan.
"Itupun, bagi dana untuk parti politik, tidak ada peraturan yang memerlukan nama penyumbang dinyatakan bagi menjaga kepentingan penyumbang tersebut," jelasnya.
Bagaimanapun jelasnya, jika ada dakwaan bahawa wang yang masuk ke dalam akaun seseorang individu adalah dari sumber yang salah, maka barulah timbul soal ada pembuktian, daripada siapa duit itu diterima dan kenapa ia diberikan.
"Jika ia didakwa datang dari sumber rasuah, maka perlulah dibuktikan siapa pemberi dan ia diberi sebagai rasuah untuk tugas atau projek apa.
"Dalam kes akaun peribadi Najib, duit dikatakan datang dari sumber 1MDB dan hasil pelaburan usaha sama dengan Petrosaudi. Dalam hal ini, penyiasat boleh merujuk penyata akaun dan dokumen daripada 1MDB dan Petrosaudi, sama ada benar duit dari sumber ini masuk ke dalam akaun peribadi Najib Razak atau tidak.
"Setakat ini penyata kewangan beraudit 1MDB dan Petrosaudi tidak menunjukkan duit daripada mereka masuk ke akaun peribadi Najib. Biarlah Pasukan Petugas Khas Empat Agensi menyiasat dokumen-dokumen ini," ujarnya.
Katanya lagi, jika duit itu digunakan untuk tujuan salah, maka Pasukan Petugas Khas juga boleh menyiasat sama ada duit itu adalah duit hasil penggubahan wang (money laudering) atau digunakan untuk tujuan-tujuan jenayah dan yang menyalahi undang-undang.
"Jika berlaku sebarang pelanggaran undang-undang dari segi penggunaan wang, maka pihak berkuasa boleh mengambil tindakan. Bagaimanapun jika tujuannya baik, misalnya untuk membantu rakyat, kita tertanya-tanya juga pihak berkuasa hendak mengambil tindakan di bawah peruntukan apa?
"Sekiranya berlaku transaksi dalam jumlah yang besar, bank terbabit perlulah memaklumkan kepada Bank Negara berkenaan transaksi tersebut. Itu soal peraturan perbankan dan akta-akta berkaitan yang perlu dipatuhi oleh bank tersebut.
"Tanggung jawab pendeposit cuma perlu memaklumkan dari mana sumber wang dan tujuannya apabila ditanya oleh Bank Negara," jelasnya.
Dalam pada itu kata Tun Faisal, sesiapa sahaja boleh menyumbang wang untuk membantu Najib dan parti.
"Jika mereka mahu ia digunakan untuk membantu parti, mereka akan dimasukkan ke dalam akaun parti atau organisasi yang berkaitan parti. Tetapi jika mereka mahu membantu individu bernama Najib, itu hak mereka yang membuat pilihan tersebut.
"Biarlah Pasukan Petugas Khas menjalankan tugas mereka menyiasat dakwaan yang ada.
"Muhyiddin sepatutnya menyerahkan tugas tersebut kepada Pasukan Petugas Khas dan bukan menimbulkan spekulasi kerana kecewa selepas digugurkan dari jawatan Timbalan Perdana Menteri," tegasnya.
#1MDB #jasa #Muhyiddin #najib #Tun Faisal
;