Wang batal kos projek mega untuk pembangunan luar bandar - Tony Pua
Arfa Yunus
Januari 21, 2019 21:26 MYT
Januari 21, 2019 21:26 MYT
Pembatalan atau penundaan serta pengurangan kos projek-projek mega adalah penting bagi meneruskan pembangunan kawasan luar bandar seperti di Cameron Highlands, kata Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua.
Pua menepis kritikan sesetengah pihak bahawa Kerajaan Persekutuan 'kedekut' dengan wang perbelanjaan untuk negara.
"Kalau kita tidak kurangkan kos projek-projek mega, tidak tunda atau batalkan projek-projek ini yang mungkin tidak membawa sebarang kesan ekonomi yang positif ataupun diteruskan dengan kos yang terlampau tinggi, wang ini akan menjadi hutang kepada negara.
"Apabila kita ada hutang besar, akibatnya kita tidak akan mempunyai dana yang cukup untuk membangunkan kawasan-kawasan luar bandar," katanya dalam sidang media di sini pada Isnin.
Pua, yang juga setiausaha politik kepada Menteri Kewangan, turut memberi contoh beberapa projek di mana pengurangan kos telah menjimatkan duit kerajaan hingga RM100 bilion.
Antaranya termasuk pembinaan laluan Transit Aliran Massa Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (MRT2) di mana RM8.8 bilion berjaya dijimatkan serta penjimatan RM15 bilion bagi projek Transit Aliran Ringan Bandar Utama-Klang (LRT3).
"Jika kita tidak jimatkan wang dari projek-projek mega ini, kita tidak akan cukup wang untuk membangunkan kawasan-kawasan luar bandar.
"Ini adalah bukti bahawa Kerajaan Persekutuan Pakatan Harapan jauh lebih baik dan lebih berpotensi untuk membangunkan kawasan-kawasan luar bandar berbanding kerajaan Barisan Nasional," tambahnya.