Wang bantuan lesap: 'Kemungkinan ada orang dalam'
Sinar Harian
Januari 17, 2023 11:40 MYT
Januari 17, 2023 11:40 MYT
KAJANG: Siasatan menyeluruh sedang dijalankan bagi mengenalpasti suspek terlibat kejadian samun wang bantuan awal persekolahan berjumlah lebih RM100,000 yang baru dikeluarkan dari sebuah bank di sekitar Pekan Semenyih, di sini pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, siasatan itu bagi mengenalpasti sekiranya terdapat unsur-unsur kecuaian atau penglibatan 'orang dalam'.
"Buat masa ini kita teruskan siasatan dengan meneliti semula rakaman kamera litar tertutup (CCTV) bagi mengenal pasti individu yang keluar masuk dari bank berkenaan.
"Kita akan siasat dari semua sudut, kemungkinan ada penglibatan orang dalam, kemungkinan ada kecuaian. Kita sudah rakam keterangan guru besar berkenaan dan akan ada lagi pihak akan dirakam keterangan dalam masa terdekat," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Op Selamat ke-19 peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, pada Selasa sempena sambutan Tahun Baharu Cina Ahad ini.
Media pada Isnin melaporkan wang bantuan awal persekolahan berjumlah lebih RM100,000 yang diperuntukkan untuk sebuah sekolah di Beranang, di sini lesap disyaki disamun penjenayah.
Wang yang dikeluarkan dari sebuah bank oleh pengetua sekolah berkenaan di Pekan Semenyih pada jam 10 pagi itu sepatutnya diagihkan kepada pelajarnya pada Selasa.
Dalam pada itu, Mohd Zaid meluahkan kekecewaannya kerana pihak sekolah tidak meminta bantuan pengiring keselamatan daripada pihak polis sebelum mengeluarkan wang berkenaan.
Katanya, pihaknya sudah lama menyediakan perkhidmatan pengiring keselamatan kepada lebih 100 sekolah di sekitar Kajang yang ingin mengeluarkan wang tunai di bank.
"Hasil soal siasat terhadap guru besar sekolah berkenaan, dia memberitahu tidak pernah meminta bantuan pengiring sejak 10 tahun berkhidmat dan tidak pernah berlaku kejadian seperti ini.
"Kita syorkan pada pihak sekolah untuk dapatkan bantuan pengiring daripada polis. Kita akan iring mereka daripada bank sehingga ke tempat yang selamat," katanya. -Sinar Harian