Wan Saiful didakwa atas 18 pertuduhan pengubahan wang haram

Astro Awani
Oktober 25, 2023 03:25 MYT
Wan Saiful (kanan) mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan terbabit dan memohon dibicarakan. - Gambar/ Shahir Omar/ Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Datuk Wan Saiful Wan Jan, didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini, atas 18 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM5.59 juta.
Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan terbabit dan memohon dibicarakan.
"Tidak bersalah dan mohon dibicarakan," katanya selepas kesemua 18 pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Suzana Hussin.
Wan Saiful, 48, didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 [Akta 613].
Jika sabit kesalahan, beliau boleh dipenjara sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau hasil aktiviti haram atau RM5 juta, mengikut mana lebih tinggi.
Pada 21 Februari lalu, Wan Saiful dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM6.9 juta membabitkan projek Jana Wibawa bernilai RM232 juta pada tahun lalu.
Bagaimanapun, beliau mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dikemukakan terhadapnya di hadapan Hakim Azura Alwi.
Berdasarkan pertuduhan, Wan Saiful didakwa meminta wang daripada Lian Tan Chuan, sebagai dorongan membantu syarikat Nepturis Sdn Bhd mendapatkan projek Central Spine Road: Sertik Ke Persimpangan Lebuhraya Pantai Timur daripada Kerajaan Malaysia, secara prakelayakan bernilai RM232 juta di Royal Lake Club, Taman Tasik Perdana, April tahun lalu.
Dia juga juga didakwa menerima suapan RM6.9 juta menerusi akaun CIMB Bank Berhad milik syarikatnya iaitu WSA Advisory Group Sdn Bhd daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik syarikat Nepturis Sdn Bhd.
Ia sebagai upah membantu syarikat terbabit mendapatkan surat setuju terima projek sama di CIMB Bank Berhad cawangan Bukit Tunku, di sini, antara 8 Julai hingga 30 September 2022.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694).
BERITA LANJUT MENYUSUL
#Wan Saiful Wan Jan #pertuduhan mahkamah #pengubahan wang haram #keputusan mahkamah