Wan Saiful dedah perbualan WhatsApp, gambar didakwa ‘ejen’ pujuk sokong PM

Hasimi Muhamad
Jun 24, 2024 15:05 MYT
Wan Saiful menunjukkan perbualan di aplikasi WhatsApp berhubung isu sokongan kepada Perdana Menteri. - Gambar/ Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan hari ini mendedahkan butiran perbualan WhatsApp dengan individu yang didakwa ‘ejen’ atau orang tengah, bagi menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ringkasan AI
  • Wan Saiful Wan Jan mendedahkan percakapan WhatsApp dengan individu yang didakwa sebagai 'ejen' atau orang tengah yang menawarkan sokongan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
  • Muhyiddin Yassin dan beberapa ahli politik lain mengkritik keputusan untuk merujuk Wan Saiful ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.
  • Wan Saiful juga menyatakan ketidakpercayaannya terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan menolak untuk membuat laporan kepada agensi tersebut.

Pendedahan tersebut dibuat selepas Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) itu tidak diberi ruang untuk membuat penjelasan terhadap usul untuk membawanya ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan, yang dikemukakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.
Wan Saiful dalam sidang media di Parlimen turut menunjukkan gambar yang didakwa siri pertemuan dengan individu terbabit.
“Ini salah satu perjumpaan tersebut. Bagaimana tidak berlaku? Ada tanya betul ke ada usaha pengaruhi kelakuan saya dalam dewan?
“Saya nak dedahkan perkara ini dalam siasatan jawatankuasa Peraturan 80A. Memang ada usaha sebab (tunjuk mesej bertulis).
“Bukti-bukti ini asalnya saya rancang bawa dalam jawatankuasa yang dibentuk di bawah Peraturan 80A untuk siasat aduan yang dibuat,” katanya di sini pada Isnin.
Wan Saiful yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menafikan telah menyebut butiran berkaitan kes dan pertuduhan mahkamah yang dihadapinya sebelum ini.
Beliau sebelum ini mendakwa ditawarkan 'pembatalan' pertuduhan yang dihadapinya di mahkamah, jika menyokong Perdana Menteri.
“Saya amat kesal dengan apa yang berlaku. Niat saya sekiranya terpaksa berbahas, saya sedia berbahas.
“Tetapi sudah tentu pegangan kita usul yang dibawa kerajaan adalah usul yang tak lengkap, yang sepatut tidak dibahaskan langsung,” tambah beliau.
Dalam pada itu, Wan Saiful mendakwa enggan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana tidak percaya kepada integriti agensi berkenaan.
“Cuba bayangkan kalau saya pergi SPRM, agak-agak siapa yang kena tahan.
“Saya terus terang saya sebut, saya tiada kepercayaan kepada institusi SPRM,” ujarnya lagi.
Sementara itu Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan keputusan merujuk Wan Saiful ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen sebagai tidak sah kerana tidak mengikut peraturan dewan.
“Sewajarnya Speaker menghormati dan mematuhi dan Speaker ada kuasa kalau beliau minta tempoh masa, tangguh dulu bawa ke masa lain, tidak diteruskan usul ini.
“Ini langkah tidak wajar... tidak sah bila seorang Speaker buat undang-undang dan peraturan, sebab itu kita nyata bantahan... keluar dewan, tak dengar apa perbahasan mereka. Mereka rasa ada sokongan bilangan Ahli Parlimen yang besar, maka tak bahas dan akhirnya mereka luluskan juga usul itu,” katanya yang juga Ahli Parlimen Pagoh.
Sementara itu Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata pembangkang akan mempertimbangkan untuk merujuk Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen selepas menerima usul untuk merujuk Wan Saiful.
“Kita akan kaji perkara itu, (rujuk Speaker ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen) dari segi peraturannya Speaker adalah ahli dewan, mana-mana ahli dewan boleh dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen tapi kita akan kaji, kena ingat dalam jawatankuasa ini pengerusinya Speaker sendiri, itu keadaanya,” katanya.
#sokong PM #Wan Saiful Wan Jan #dedah perbualan #SPRM
;