Wan Junaidi sifatkan Tun Abdul Taib sebagai "Tunjang Keharmonian Sarawak"

Nursyazwani Saiful Sham
Februari 22, 2024 08:10 MYT
Wan Junaidi berkata, pengorbanan Abdul Taib dalam pembangunan negeri Sarawak sepanjang hidup Allahyarham tidak dapat dinafikan. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Allahyarham Tun Abdul Taib Mahmud yang menghembuskan nafas terakhir awal pagi semalam disifatkan sebagai “Tunjang Keharmonian" negeri Sarawak oleh penggantinya, Tun Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Menurut Yang di-Pertua Negeri Sarawak itu, sifat kepimpinan sedemikian diperlihatkan Allahyarham Abdul Taib semasa menerajui pentadbiran sebagai Ketua Menteri Sarawak dan Yang di-Pertua Negeri.
Wan Junaidi juga berkata, pengorbanan Abdul Taib dalam pembangunan negeri Sarawak sepanjang hidup Allahyarham tidak dapat dinafikan.
"Sebagai Ketua Menteri untuk semua rakyat Sarawak, Allahyarham sangat menjaga hak imigresen Sarawak, menjauhkan semua unsur negatif dari pantai Sarawak dan membina syurga ‘Land of the Hornbills’ yang meraikan kebebasan beragama dan kepelbagaian kaum.
"Tun Taib telah menyemai semangat keamanan dan keharmonian dalam kalangan rakyat berbilang kaum dan agama di Sarawak dan warisannya kini kita nikmati.
"Hasil kerja keras dan susah payah beliau untuk memastikan tiada kaum akan tercicir dalam semua dasar semasa beliau menjadi Ketua Menteri Sarawak selama lebih tiga dekad terus dipupuk sehingga hari ini," kata Wan Junaidi dalam kenyataan yang dikeluarkan.
Dalam kenyataan itu, Wan Junaidi turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Abdul Taib dan mendoakan roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman.
#Taib Mahmud #Wan Junaidi Tuanku Jaafar #ucapan takziah #Tunjang Keharmonian
;