Wan Junaidi, Johari hadiri persidangan CSPOC di Uganda esok
Bernama
Januari 2, 2024 14:07 MYT
Januari 2, 2024 14:07 MYT
KUALA LUMPUR: Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul akan menghadiri persidangan kali ke-27 Conference of Speakers and Presiding Officers of The Commonwealth (CSPOC) di Kampala, Uganda, bermula esok hingga 6 Jan ini.
Satu kenyataan yang dikeluarkan Parlimen Malaysia hari ini memaklumkan bahawa Wan Junaidi dijadual membentangkan topik berkaitan Alam Sekitar, Perubahan Iklim dan Peranan Parlimen, manakala Johari akan membentangkan topik berkaitan Parlimen yang Terangkum dan Pelbagai: Sensitiviti Belia dan Jantina pada 4 Jan nanti.
"Delegasi Parlimen itu juga dijadualkan mengadakan kunjungan hormat ke atas Speaker Parlimen Uganda Anita Annet Among selaku tuan rumah persidangan pada 3 Jan, dan seterusnya menghadiri majlis perasmian yang akan disempurnakan oleh Presiden Uganda Yoweri Kaguta Museveni, pada 4 Jan," menurut kenyataan itu.
Menurutnya delegasi itu juga akan menghadiri Mesyuarat Serantau Malaysia dan Singapura serta mesyuarat dua hala bersama delegasi lain yang hadir, dan sesi bengkel yang akan dianjurkan pada persidangan itu.
Persidangan tahun ini dijangka dihadiri 40 delegasi mewakili Parlimen daripada 33 negara, termasuk Malaysia.
Sejak penubuhannya pada 1969, persidangan setiap dua tahun sekali itu yang bertujuan mengekalkan, memupuk, menggalakkan kesaksamaan dan keadilan antara Speaker serta pegawai-pegawai Dewan di seluruh negara-negara Komanwel.
Delegasi Parlimen Malaysia turut disertai Setiausaha Dewan Negara Muhd Sujairi Abdullah dan Setiausaha Dewan Rakyat Dr Nizam Mydin Bacha Mydin serta pegawai-pegawai kanan.
Maklumat lanjut mengenai persidangan itu dipaparkan di laman web https://www.cspoc.org/.
-- BERNAMA
#Yang Dipertua Dewan Negara
#Wan Junaidi Tuanku Jaafar
#Yang Dipertua Dewan Rakyat
#Johari Abdul
#Uganda
#CSPOC