Wan Junaidi dilantik Yang Dipertua Dewan Negara ke-19

Bernama
Jun 19, 2023 11:45 MYT
Tan Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Yang Dipertua Dewan Negara. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Tan Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Negara yang ke-19 hari ini.
Wan Junaidi menggantikan Tan Sri Dr Rais Yatim yang dilantik sebagai Speaker Dewan Negara sejak 18 Jun 2020 dan tamat perkhidmatan pada 16 Jun lepas.
Pelantikan itu dibuat selepas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengemukakan Wan Junaidi, yang juga calon tunggal sebagai cadangan nama ahli untuk dilantik.
"Mengikut Peraturan Mesyuarat 2 (1), saya telah memastikan bahawa beliau bersetuju untuk berkhidmat jika dipilih," katanya.
Cadangan itu disokong Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Peraturan Mesyuarat 2 (1) menyatakan aturan memilih Tuan Yang Dipertua hendaklah seperti yang tersebut, iaitu tiap-tiap ahli yang hendak mencadangkan nama ahli yang hendak dipilih jadi Tuan Yang Dipertua, mestilah mempastikan terlebih dahulu iaitu ahli itu suka berkhidmat jika dia dipilih dan hendaklah memberitahu setiausaha akan cadangannya, sekurang-kurangnya dua hari sebelum diadakan mesyuarat.
Sementara itu, Datuk Nur Jazlan Mohamed dilantik sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara.
Terdahulu, keputusan melantik Nur Jazlan dibuat melalui proses pengundian bersurat memandangkan terdapat lebih daripada satu nama dikemukakan.
Yang Dipertua Dewan Negara yang baharu mengumumkan pemilihan Nur Jazlan selepas calon dari kerajaan itu mendapat undi tertinggi mengatasi seorang lagi calon menerusi keputusan undi bersurat.
"Yang Berhormat Senator Datuk Nur Jazlan Mohamed mendapat 43 undi dan Yang Berhormat Datuk Razali Idris mendapat 11 undi manakala lapan orang ahli tidak hadir.
"Maka selaras dengan peruntukan Peraturan Mesyuarat 5 (2) saya dengan ini memasyhurkan Yang Berhormat Senator Datuk Nur Jazlan dipilih menjadi Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara," kata Wan Junaidi.
Peraturan Mesyuarat 5 (2) menyatakan aturan memilih Timbalan Tuan Yang Dipertua itu hendaklah seberapa bolehnya sama seperti aturan memilih Tuan Yang Dipertua melainkan memilihnya itu hendaklah dijalankan oleh Tuan Yang Dipertua.
Usul pencalonan Nur Jazlan dikemukakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Ketua Majlis manakala wakil pembangkang menamakan Razali sebagai calon mereka.
Pencalonan Razali dicalonkan oleh Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai.
-- BERNAMA
#Wan Junaidi Tuanku Jaafar #Dewan Negara #Yang Dipertua Dewan Negara #Nur Jazlan Mohamed
;