Wan Junaidi beri penghormatan terakhir buat penerima SP
Bernama
Jun 6, 2024 18:15 MYT
Jun 6, 2024 18:15 MYT
KUCHING: Yang Dipertua Negeri (YDP) Sarawak Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar hadir di Dewan Suarah di sini hari ini bagi memberikan penghormatan terakhir kepada mendiang Kpl (B) Etin Jam, seorang penerima pingat Seri Pahlawan Gagah Perkasa (SP) yang meninggal dunia Selasa lepas.
Tun Wan Junaidi diiringi isterinya Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi dan Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas dalam upacara itu.
Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyusuli YDP untuk melakukan penghormatan terakhir dan beliau diiringi Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak Tan Sri Mohd Asfia Awang Nassar.
Jasad mendiang Etin tiba di Dewan Suarah Kuching kira-kira jam 1.05 tengah hari tadi setelah diterbangkan ke sini menggunakan pesawat tentera dari Miri.
Etin, 84, yang merupakan pesara polis meninggal dunia kira-kira jam 6.59 pagi 4 Jun lepas di Hospital Miri ekoran kanser paru-paru dan akan dikebumikan di Makam Pahlawan, Jalan Taman Budaya di sini esok.
Mendiang dianugerahkan pingat SP oleh Yang di-Pertuan Agong kelima Al-Marhum Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah pada 6 Julai 1972 ekoran keberaniannya menentang segerombolan pengganas komunis dan berjaya membunuh seorang pengganas dalam satu insiden pada 29 April 1972.
-- BERNAMA
#Yang Dipertua Negeri Sarawak
#Wan Junaidi Tuanku Jaafar
#penghormatan terakhir
#Etin Jam
#penerima pingat Seri Pahlawan Gagah Perkasa