Wan Junaidi adakan kunjungan hormat ke atas Speaker Parlimen Uganda sempena CSPOC

Bernama
Januari 4, 2024 10:00 MYT
Kedua-dua pihak, Wan Junaidi dan Anita Ammet, turut berbincang tentang kerjasama yang boleh dijalankan di antara Parlimen Malaysia dan Uganda. - Foto Facebook Wan Junaidi
KUALA LUMPUR: Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar mengadakan kunjungan hormat ke atas Speaker Parlimen Uganda Anita Ammet Among semalam, sempena penyertaan beliau ke persidangan kali ke-27 Conference of Speakers and Presiding Officers of The Commonwealth (CSPOC) di Kampala, Uganda, yang berlangsung hingga 6 Jan ini.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Yang Dipertua Dewan Negara, pada kunjungan hormat tersebut kedua-dua pihak membincangkan perkara yang menjadi perhatian dan kebimbangan bersama seperti isu perubahan iklim, gender, penglibatan wanita dalam politik, jurang pembangunan dan keterangkuman.
"Selain itu, kedua-dua pihak turut berbincang tentang kerjasama yang boleh dijalankan di antara Parlimen Malaysia dan Uganda, untuk menjadi pengantara dalam meneroka potensi perdagangan, perniagaan dan inovasi bagi kedua-dua negara," menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu memaklumkan ini merupakan pertama kali Wan Junaidi membuat kunjungan hormat tersebut sejak menjadi Yang Dipertua Dewan Negara tahun lepas, yang turut disertai Setiausaha Dewan Negara Muhd Sujairi Abdullah.
Persidangan ini diharapkan akan memanfaatkan semua ahli-ahli negara peserta persidangan, selain terus memupuk hubungan diplomatik dan kerjasama antarabangsa antara Malaysia dan Uganda, serta mengetengahkan kepentingan Komanwel sebagai platform untuk memupuk pemahaman dan kerjasama di kalangan negara-negara ahli.
Maklumat lanjut mengenai persidangan itu dipaparkan di laman web https://www.cspoc.org/.
-- BERNAMA
#Wan Junaidi Tuanku Jaafar #Speaker Parlimen Uganda #kunjungan hormat #CSPOC
;