Wan Ji boleh buat laporan polis - Muhyiddin
Astro Awani
Julai 18, 2019 19:50 MYT
Julai 18, 2019 19:50 MYT
Penceramah bebas, Wan Ji Wan Hussin yang mendakwa dipukul oleh pegawai warden Penjara Kajang ketika menjalani hukuman penjara minggu lalu boleh membuat laporan polis jika mahu pembelaan dan keadilan.
Menteri Dalam Negeri (KDN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pihaknya tidak boleh bertindak ke atas pegawai berkenaan sekiranya tidak ada laporan polis.
"Saya tidak pasti kalau dia sudah buat laporan polis, saya baca, tengok video, dia kata dia tidak mahu buat laporan.
"Tetapi kalau dia fikir ada kes tertentu yang dia telah hadapi dan dia mahu pembelaan, maka elok dia buat laporan polis. Kalau sudah ada (laporan), maknanya polis akan siasat sama ada kenyataan dia ada asas ataupun tidak.
"Kalau ya, ada tindakan-tindakan yang boleh diambil oleh pihak polis," katanya dalam sidang media di pejabat Imigresen Malaysia di sini, hari ini.
Isnin lalu, Wan Ji yang menjalani hukuman satu tahun penjara atas kesalahan bawah Akta Hasutan, mendakwa dirinya dipukul ketika berada dalam Penjara Kajang.
Dia mendakwa, kejadian itu berlaku sehari selepas dibebaskan pada Jumaat lalu.
Menurutnya, dia diminta meninggalkan baju dan perlu menggunting rambut sehingga botak serta janggut seterusnya menanggalkan cermin mata.
Wan Ji mendapat kebenaran dari Mahkamah Tinggi Shah Alam bagi menangguhkan hukuman penjara setahun kerana menghasut terhadap Sultan Selangor.
Sementara itu, berhubung perkembangan kematian lelaki warga Nigeria, Thomas Orhions Ewansiha, Muhyiddin berkata pihaknya masih menunggu laporan lengkap daripada pihak Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM).
Katanya, hanya laporan awal hospital telah dikeluarkan dan mendapati Ewansiha tidak ada kesan dipukul atau cedera.
"Bagaimanapun, laporan lengkap belum lagi dikeluarkan dan (kami) masih menunggu laporan itu. Kami tidak boleh buat apa-apa andaian," tambahnya.