Wan Irfayuim rela lepaskan kasut vintaj 104 tahun demi kelangsungan hidup

Muhafandi Muhamad
Jun 28, 2021 09:23 MYT
Kasut jenama Converse model pertama di dunia berusia 104 tahun milik pengumpul kasut vintaj Wan Irfayuim Azim Wan Ab Aziz, 31, sudah ada pembeli. -Astro AWANI
KOTA BHARU: Kasut jenama Converse model pertama di dunia berusia 104 tahun milik pengumpul kasut vintaj Wan Irfayuim Azim Wan Ab Aziz, 31, sudah ada pembeli.
Dia berkata seorang lelaki dari Pahang telah menyatakan persetujuan untuk membeli kasut itu dengan harga yang ditawarkan, dan dijangka akan membuat bayaran hari ini.
Walaupun amat sayangkan koleksi yang dibeli secara dalam talian dari pasangan suami isteri dengan harga puluhan ribu ringgit pada 2018, namun kerana desakan ekonomi, dia akur menjualnya.
Wan Irfayuim Azim memuat naik status di akaun Facebooknya semalam untuk menjual kasut Converse model 'Non-Skid' yang berusia 104 tahun itu pada harga RM40,800 dek terkesan dengan pandemik COVID-19.
"Nak lepaskan, salah satu sebab utama adalah ekonomi.
"Semasa saya tinggal di Jepun, ekonomi 'gagah' sikit. Tapi bila balik sini, saya balik ke malaysia, empat hari sebelum lockdown, balik dengan sehelai sepinggan gitu.
"Ingatkan tak ada apa-apa, terus lockdown. Barang-barang semua di sana, tak boleh ambil.
"Rumah, kereta, terpaksa lepaskan semua. Jadi bermulalah kehidupan saya di Malaysia kembali.
"Dekat jepun saya buat pelancongan, saya stay dekat sana lebih kurang tiga tahun setengah," kata Wan Irfayuim Azim.
Status yang dimuat naik olehnya menjadi tular dan mendapat 8,500 tanda suka dan dikongsi lebih 6,400.
Katanya, dia tidak sangka statusnya menjadi tular dan tidak sampai dalam tempoh 24 jam selepas dimuat naik, ramai yang berminat serta bertanya berkenaan kasut itu.
Wan Irfayuim Azim yang juga peniaga kenderaan saji berkata, kasut yang dihasilkan pada 1917 itu didatangkan bersama dengan sepasang seluar pendek tahun 1916 berserta pelindung lutut pemain bola keranjang.
Katanya, mengikut cerita daripada pasangan suami isteri dari Amerika Syarikat itu, seluar dan pelindung lutut itu dijumpai bersama-sama kasut ini dan disimpannya sejak 1989 sehingga mereka terpaksa menjualnya kerana memerlukan wang kerana masalah kesihatan.
Beliau yang tinggal di Kampung Chempaka, Kota Bharu juga akan menghadiahkan tiga lagi kasut Converse dari tahun 1950, 1960 dan 1970 kepada pembeli itu.
#kasut #Converse #kasut vintaj #Wan Irfayuim Azim #rela jual kasut #demi kelangsungan hidup #pemandu pelancong di Jepun #COVID-19 #PKP
;