Wan Azizah tegas kemuka usul undi tidak percaya terhadap Najib
Wan Syamsul Amly, Harits Asyraf Hasnan, Hafiz Marzukhi
Oktober 20, 2015 18:34 MYT
Oktober 20, 2015 18:34 MYT
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail akan tetap memfailkan usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Katanya, usul tersebut akan dikemukakan dalam masa terdekat di bawah Seksyen 26 Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat.
"Saya akan masukkan usul ini dalam masa terdekat yang sesuai dan pihak media akan dimaklumkan berkenaan perkara ini," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini, hari ini.
Wan Azizah juga enggan mengulas apabila ditanya berkenaan pelanggaran syarat untuk dirinya mengemukakan usul tersebut yang telah terlewat.
Mengikut Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat, setiap ahli Parlimen yang ingin mengemukakan usul diminta untuk kemukakan usul tersebut dalam tempoh 14 hari sebelum sidang bermula.
Ditanya sama ada Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan menarik semula usul sama yang dikemukakan Ahli Parlimen Petaling Jaya Selatan, Hee Loy Sian, Wan Azizah berkata dia akan berbincang dengan Loy Sian berhubung perkara tersebut.
"Saya akan bincang dengan dia sama ada akan tarik semula atau bagaimana," katanya.
Beliau sebelum itu bersama beberapa ketua whip pembangkang serta timbalan-timbalan presiden parti yang bernaung di bawah Pakatan Harapan telah mengadakan pertemuan bersama Yang Di Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul berkata, sama ada speaker Dewan Rakyat akan menerima mahupun menolak usul tersebut merupakan perkara kedua.
"Yang Ketua Pembangkang kata tadi, perbincangan telah diadakan dengan Tan Sri (Pandikar Amin). Setelah berbincang, Ketua Pembangkang akan failkan usul dalam masa terdekat.
"Soal sama ada Tan Sri tolak atau terima (usul) itu bukan perkara utama," katanya pada sidang media yang sama.