Wan Azizah sudah maafkan Rahim Noor

Astro Awani
Ogos 30, 2018 09:19 MYT
DR WAN AZIZAH: Saya tidak senang, tapi saya akur! -Foto Sinar Harian
Saya tidak senang, tapi saya akur!
Demikian respons Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengenai pelantikan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Noor sebagai fasilitator baru bagi proses damai wilayah selatan Thailand.
Jelas Dr Wan Azizah, pelantikan itu adalah atas budi bicara perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
"Ia bukan senang untuk menerima, tetapi saya rasa ia penting untuk negara menyelesaikan masalah walaupun sesiapa sahaja dipilih," katanya dalam temu bual di sebuah stesen radio BFM hari ini.
Dalam temu bual beliau di stesen radio BFM, Dr Wan Azizah juga telah menyatakan pendirian anaknya Nurul Izzah Anwar kepada Dr Mahahir.
Tambah Dr Wan Azizah, Dr Mahathir menjelaskan pelantikan Abdul Rahim itu kerana beliau mempunyai pengalaman menangani kegiatan pengganas di wilayah itu.
Ketika gerakan reformasi, Abdul Rahim adalah ketua polis negara yang bertanggungjawab menangani gerakan itu sehingga tertangkapnya Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Abdul Rahim juga adalah individu yang bertanggungjawab dalam insiden mata lebam Anwar.
Ditanya sama ada beliau telah memaafkan Abdul Rahim, Dr Wan Azizah berkata beliau telah pun berbuat demikian.
#Anwar Ibrahim #bfm #Ketua Polis Negara #Mahathir Mohamad #Nurul Izzah #pengganas #Perdana Menteri #radio #Rahim Noor #Senang #Tan Sri Abdul Rahim Noor #Thailand #Wan Azizah Wan Ismail