Wan Azharuddin ganti Zaidy sebagai Ketua Polis Daerah Kuala Muda

Adie Sufian Zulkefli
April 14, 2024 19:52 MYT
Ketua Polis Kedah Datuk Fisol Salleh (tengah) menyaksikan majlis serah terima tugas Ketua Polis Daerah Kuala Muda di antara ACP Zaidy Che Hassan (dua, kiri) bersama ACP Wan Azharuddin Wan Ismail (dua, kanan) hari ini. - Foto Astro AWANI
SUNGAI PETANI: Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Risikan dan Operasi Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah, Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Kuala Muda yang baharu bermula Ahad.
Beliau menggantikan Senior Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan yang ditukarkan ke Bukit Aman untuk menjalankan tugas sebagai Ketua Penolong Pengarah (Persenjataan) Bahagian Teknikal/Operasi, Jabatan Logistik dan Teknologi.
Wan Azharuddin sebelum ini bertugas sebagai Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Kuala Muda berkata, beliau gembira apabila dapat kembali ke daerah ini dan dapat melaksanakan tugas dengan berkesan kerana telah mengenali sebahagian besar pegawai dan anggotanya.
“Saya tekad akan kurangkan indeks jenayah di daerah ini dengan kerjasama semua peringkat warga kerja IPD Kuala Muda.
“Selain itu, saya juga akan mengambil langkah bersesuaian untuk membanteras jenayah termasuk mengekang aktiviti haram terutamanya berkaitan dadah di daerah ini,” katanya pada sidang media di sini pada Ahad.
Sementara itu, Zaidy yang memegang jawatan sebagai Ketua Polis Daerah Kuala Muda selama dua tahun menyerahkan jawatan itu pada majlis serah tugas antara mereka disaksikan Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh di Dewan Serbaguna Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda, di sini hari ini.
#Wan Azharuddin Wan Ismail #dilantik #Ketua Polis Daerah Kuala Muda #Zaidy Che Hassan
;