'Walk-in' untuk vaksinasi warga emas di Lembah Klang bermula esok - Khairy
Astro Awani
Julai 16, 2021 18:53 MYT
Julai 16, 2021 18:53 MYT
KUALA LUMPUR: Bermula 17 Julai warga emas di Kuala Lumpur dan Selangor yang belum menerima janji temu untuk vaksin dibenarkan 'walk-in' (secara terus) di mana-mana Pusat Pemberian Vaksin (PPV).
Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin menjelaskan pemberian vaksin secara 'walk-in' ini hanya diberikan kepada warga emas yang belum menerima janji temu di aplikasi MySejahtera semata-mata.
Sehubungan itu, katanya, laluan khas bagi warga emas akan disediakan di setiap PPV di Kuala Lumpur dan Selangor, selain garis panduan bagi melancarkan proses pemberian vaksin secara terus.
"Kita hendak pastikan setiap warga emas ini mendapat perlindungan secepat mungkin, justeru kerajaan memutuskan pendekatan 'walk-in'.
"Selain itu, kita akan pastikan warga emas menerima vaksin dalam keadaan selesa dan selamat, memandangkan jumlah kes harian masih tinggi di Lembah Klang," katanya pada sidang media khas Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF), pada Jumaat.
Namun, Khairy menjelaskan warga emas yang sudah mempunyai janji temu perlu mengikutinya pada tarikh dan pusat pemberian vaksin yang telah didaftarkan.
#Khairy Jamaluddin
#Pusat Pemberian Vaksin
#PPV
#Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan
#warga emas
#Kuala Lumpur
#Selangor
#walk in