Walk The Doc 2024 fokus tarikan lama Kuala Lumpur
Bernama
November 22, 2024 08:00 MYT
November 22, 2024 08:00 MYT
KUALA LUMPUR: Edisi ketiga Festival Dokumentari Antarabangsa Walk The Doc pada 91 hingga 21 Nov ini mengetengahkan tarikan lama Kuala Lumpur dengan tema 'Kuala Lumpur Old Charm'.
Pengasas bersama dan pengarah urusan Walkabout Asia Nurashikin Zaharuddin berkata festival tahun ini menyasarkan untuk menerokai aspek baharu pembuatan filem dokumentari dengan menjadikan Kuala Lumpur sebagai subjek utama berbanding Langkawi pada edisi sebelum ini.
"Kuala Lumpur satu tempat yang bagus untuk diterokai, banyak yang boleh diceritakan mengenai aspek-aspek lama bandar raya itu, dari Stadium Merdeka, tempat di mana kami anjurkan festival ini, kepada kekayaan budaya Pasar Seni," katanya kepada Bernama ketika ditemui pada Majlis Anugerah Walkabout Asia di sini malam tadi.
Turut hadir Ketua Bernama TV Nor Hamzeela Md Hambali.
Nurashikin berkata festival berkenaan, disokong Think City dan Bernama TV sebagai rakan media, antara lain menganjurkan bengkel dan dialog bagi mewujudkan rangkaian yang kukuh ke arah pengalaman pembelajaran berimpak.
-- BERNAMA