Walaupun lumayan, peladang harumanis rasa mungkin tidak berbaloi

Dania Zainuddin
April 29, 2018 12:04 MYT
Mangga harumanis yang telah menjadi keistimewaan negeri Perlis ini pada musim kemuncak boleh dijual sehingga RM45 sekilo. - Gambar hiasan
“Orang selalu menyangka, kalau kita tanam pokok harumanis, kita kaya. Tetapi, mungkin orang tidak tahu, kos penjagaannya sangat tinggi. Hingga kadang-kadang saya rasa ia tidak berbaloi, kerana merugikan,”
Itu luahan Abdul Rahman Ibrahim, penduduk Felda Chuping yang menjaga beberapa batang pokok mangga harumanis, dan buah-buah yang lain, di laman rumahnya.
“Kos sangat tinggi kerana pembelian racun, baja, pembalut, penggalak bunga. Itu semua sangat mahal.
“Bukan itu sahaja, cuaca di Chuping juga, sebagai kawasan yang mempunyai suhu paling tinggi di Malaysia, walaupun tempat ini sangat sesuai untuk penanaman harumanis, risikonya tetap ada,” katanya lagi.
Sementara itu, bagi peladang harumanis Zakaria Hashim, antara cabaran yang didepani sejak tahun lalu adalah apabila musim memetik buah harumanis jatuh pada bulan puasa.
“Pada bulan puasa, tak ramai orang nak beli buah harumanis. Sebab itu harga buah ini boleh turun sehingga RM10 sekilo. Ini sekali gus mengakibatkan isu lambakan harumanis,” katanya.
Selain itu, buah harumanis yang telah menjadi keistimewaan negeri Perlis ini pada musim kemuncaknya boleh dijual sehingga RM45 sekilo.
Berikutan itu, turut timbul masalah kecurian di ladang-ladang pokok harumanis di negeri ini.
“Kadang-kadang, ada pencuri yang benar-benar berani. Mereka bukan datang untuk curi lima atau enam biji, tetapi mereka bawa lori dan kutip semua ratusan buah dalam ladang.
“Ini memang memberi kerugian besar buat kami.
“Mereka pula mencuri ketika buah belum cukup masak. Sebab itu kita ada dengar pembeli di luar yang mendakwa buah ini tidak manis,” kata Zakaria lagi.
Bagi peladang Musa Darus pula, dia sebelum ini pernah mengambil tindakan yang lebih agresif dengan memasang pagar elektrik di sekeliling ladangnya.
“Mereka pernah mencuri beratus-ratus buah harumanis dari ladang saya. Memang rugilah. Sebab itu, saya pasang pagar elektrik ini.
“Pihak berkuasa pula meminta saya untuk hentikan pemasangan pagar berelektrik ini, kerana mengambil kira keselamatan orang luar,” katanya.
Dalam pada itu, peladang-peladang harumanis yang ditemui ini secara umumnya berharap masyarakat setempat dapat lebih aktif, peka dan bersama untuk membantu mencegah masalah kecurian.
Selain itu, mereka turut berharap pihak berwajib dapat menyediakan lebih banyak kursus dan latihan kepada petani dan golongan belia supaya mereka lebih lengkap dengan kemahiran.
Ini, kata mereka, sekali gus dapat mengurangkan kes kecurian dan pada masa sama memastikan buah harumanis yang dikeuarkan berkualiti.
#Chuping #Felda #Harumanis #Perlis
;