Walaupun jarang berhadapan krisis, kepakaran kami tidak hilang - KPN

Aizat Sharif
Mac 25, 2013 19:06 MYT
Meskipun negara sudah lama tidak menghadapi krisis keselamatan, ianya tidak bermakna anggota keselamatan sudah hilang kepakaran mereka dalam menangani ancaman musuh.
Malah, sewaktu berlakunya krisis pencerobohan pengganas Sulu di Lahad Datu yang telah mengorbankan 10 wira negara, Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar yang mengetuai ‘Ops Daulat’ telah melihat dan mengalami sendiri pahit jerih dan cabaran yang dihadapi oleh pasukan keselamatan negara dalam menjejak musuh negara.
Dalam temubual sempena Hari Polis ke 206, Tan Sri Ismail mengatakan moral dan semangat anggota keselamatan masih lagi membara dan utuh dalam menghadapi tentangan musuh di Lahad Datu.
Ikuti sesi wawancara itu.
Mengambil kira dengan apa yang telah berlaku di Lahad Datu, apakah pengalaman Tan Sri dalam mengetuai ‘Ops Daulat’ dari sudut cabaran dan dugaan selain dari menghadapi tentangan musuh?
Jawapan: Realitinya, ianya agak mencabar kerana permukaan muka bumi Sabah terutama di kawasan tersebut yang dikelilingi paya bakau dan ladang kelapa sawit namun hanya dalam masa seminggu sahaja saya dapat lihat, pegawai-pegawai keselematan ini sudah dapat menyesuaikan keadaan. Malah, ketika menghadapi tentangan musuh, adakalanya mereka terpaksa berada di medan pertempuran selama dua hingga ke tiga hari dan tidak boleh pulang pulang ke ‘base’.
Meskipun, ada antara rakan-rakan seperjuangan mereka yang gugur di medan pertempuran, semangat mereka masih membara dan utuh. Malah di meja operasi sendiri, pegawai-pegawai tertinggi operasi yang terlibat begitu komited dalam menrencanakan gerakan-gerakan dan strategi taktikal dalam menjejaki musuh. Begitu juga, kita terpaksa mengatur strategi bersama bagaimana untuk menghantar bekalan makanan kepada aggota kita.
Saya berasa bangga bersama berjuang dengan mereka sehingga hari ini kerana di saat kita menikmati hidup yang selesa disini, perwira-perwira kita masih terus bersemangat berjuang di sana.
Soalan. Bagaimana Tan Sri melihat kepentingan peranan polis dalam menjamin keselamatan masyarakat di situ terutama dalam usaha untuk mengembalikan keamanan semula?
Jawapan. Musuh sememangnya kejam namun rakyat tidak perlu bimbang kerana keselamatan rakyat adalah paling utama. Penugasan pasukan keselamatan di kawasan terlibat menandakan kita mementingkan keselamatan penduduk. Walaupun tentangan yang diberikan sangat hebat sehingga ada antara anggota kita terkorban namun ianya bukanlah alasan kita untuk berundur kerana kenteraman awam adalah faktor utama kita kekalkan. Segala penugasan dan penggemblengan tenaga dari sudut logistik dan juga anggota polis kita berada dalam keadaan siap sedia.
Soalan. Setelah apa yang berlaku di Lahad Datu itu, bagaimana Tan Sri melihat kesiap-siagaan pasukan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dalam menghadapi permasalahan seperti ini andainya ianya berlaku di tempat-tempat besar seperti di Kuala Lumpur, Johor Bahru dan tempat-tempat lain?
Jawapan. Kita sememangnya sudah lama tidak menghadapi ancaman-ancaman seperti yang berlaku di negeri Sabah itu. Kali terakhir pun sekitar tahun 70an, 80an dan juga peristiwa di Bukit Jenalik pada tahun 2000. Namun, begitu, dari sudut positifnya, pegawai-pegawai polis berpangkat tinggi yang pernah mengikuti operasi-operasi di era itu tidak pernah sekalipun hilang kepakaran mereka. Apabila saya mengetuai operasi ini, saya dapat lihat sendiri pengalaman mereka yang masih utuh dalam kepakaran taktikal dan strategi digunakan untuk menjejak musuh. Secara umumnya, PDRM sememangnya bersedia dan sentiasa memantau dengan apa jua ancaman yang bakal dihadapi malah setiap hari.
Dalam amanat sempena Hari Polis yang ke 206, Tan Sri Ismail Omar turut menyatakan gugurnya anggota keselamatan di medan pertempuran menyamarakkan lagi semangat semua pegawai keselamatan untuk berjuang bermati-matian mempertahankan negara.
Ini terbukti apabila insiden yang berlaku 1 dan 2 Mac lalu di Kampung Tanduo, Lahad Datu dan Kampung Simunul, Semporna, pasukan keselamatan terus menjejak pengganas yang masih berada di kawasan itu.
Malah, komitmen, kesungguhan dan kepahlawanan pasukan keselamatan berjaya menumpaskan 63 orang pengganas sehingga kini.
Keberanian dan semangat tinggi pasukan keselamatan juga terus bergerak ke hadapan demi memerangi pengganas yang menceroboh negara.
Selain itu, masyarakat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama juga telah menunjukkan semangat patriotisme terhadap wira yang gugur dan beliau amat berbangga dengan semangat yang ditunjukkan.
#Lahad Datu #Ops Daulat #polis #Tan Sri Ismail Omar
;