Walaupun gusar India tidak beli minyak sawit, Malaysia berhak kritik - PM

Firdaus Azil
Januari 14, 2020 14:22 MYT
DR MAHATHIR: Faktanya ialah, apa yang berlaku di India hari ini mengakibatkan rasa tidak gembira di kalangan rakyat mereka sendiri. - Astro AWANI/SHAHIR OMAR
Walaupun agak gusar mengenai usaha pihak tertentu yang cuba memastikan Kerajaan India tidak membeli minyak kelapa sawit dari Malaysia, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, Malaysia perlu bersikap jujur mengenai kepincangan negara itu.
Perdana Menteri berkata, jika ada sesuatu yang tidak kena, Malaysia berhak menyuarakan pandangannya.
“Memang kita khuatir kerana kita jual banyak minyak kelapa sawit kepada India. Tetapi kita harus bersikap jujur. Jika ada perkara yang tidak kena, kita harus menyuarakannya.
“Jika kita terus membiarkan perkara yang salah berterusan, dan ia mungkin melibatkan wang, saya rasa jika bukan kita yang melakukan kesalahan, ia akan dibuat oleh pihak yang lain,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Forum Integriti Bank Rakyat 2020, di sini hari ini.
BACA: Tiga insiden pencetus kemarahan terhadap kerajaan India
Dr Mahathir berkata, kerajaan Malaysia akan cuba mencari jalan penyelesaian bagi memastikan India terus memberi minyak kelapa sawit dari negara ini.
“Kita akan cuba cari jalan penyelesaian. Tetapi faktanya ialah, apa yang berlaku di India hari ini mengakibatkan rasa tidak gembira di kalangan rakyat mereka sendiri.
"Malah seluruh dunia juga merasakan diskriminasi itu tidak patut,” katanya lagi.
Beberapa media baru-baru ini melaporkan, ada pihak di India mahu memboikot minyak sawit dari Malaysia.
BACA: 'Kenyataan saya, milik saya' - Dr Mahathir tidak peduli jika India anggap beliau salah
BACA: India panggil Pesuruhjaya Tinggi Malaysia berhubung kenyataan Tun Mahathir - Laporan
Tindakan itu dikatakan susulan kritikan Dr Mahathir terhadap penggubalan undang-undang baharu kewarganegaraan negara itu yang disifatkan tidak betul dan memudaratkan.
Bagaimanapun, pada Isnin, Menteri Industri Utama Teresa Kok menafikan wujud usaha di pihak India untuk memboikot minyak sawit keluaran Malaysia.
Sebaliknya, katanya, pembeli minyak sawit di negara itu mahu kerajaan Malaysia meningkatkan eksport minyak sawit mentah dan mengurangkan pengeksportan bekalan berkenaan yang telah diproses.
#boikot #diskriminasi #India #integriti #kelapa sawit #kerajaan #Mahathir Mohamad #minyak #undang-undang #undang-undang kewarganegaraan
;