Walaupun dibebani hutang, kerajaan komited tingkat kebajikan dan taraf hidup rakyat - Rafizi

Bernama
Julai 30, 2023 07:15 MYT
Rafizi berkata, kerajaan memiliki dana terhad kerana pendapatan negara hanyalah sekitar RM300 bilion namun perlu mengeluarkan sejumlah wang yang besar bagi pemberian subsidi, perbelanjaan mengurus dan membayar faedah hutang negara. - Gambar BERNAMA
KUALA LUMPUR: Meskipun dibebani hutang dan perbelanjaan pengurusan negara yang tinggi, kerajaan tetap komited melaksanakan pelbagai inisiatif bagi meningkatkan kebajikan serta taraf hidup rakyat.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, kerajaan memiliki dana terhad kerana pendapatan negara hanyalah sekitar RM300 bilion namun perlu mengeluarkan sejumlah wang yang besar bagi pemberian subsidi, perbelanjaan mengurus dan membayar faedah hutang negara.
"Kerajaan kena bayar subsidi sampai RM80 bilion, bayar lagi faedah atas hutang lebih kurang RM30 bilion, tambah pula gaji pekerja, sewa bangunan kerajaan dan perbelanjaan kerajaan beratus-ratus bilion.
"Akhirnya duit itu habis semua, jadi bagaimana kita hendak bantu rakyat untuk naikkan gaji, bina lebih banyak rumah dan wujudkan program basmi kemiskinan yang merubah kehidupan rakyat," katanya pada ceramah Jelajah MADANI di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua, di sini, malam tadi.
Beliau berkata, susulan itu, kerajaan tidak boleh menambah subsidi bagi harga minyak kerana perlu mengimbangi perbelanjaan untuk membolehkan inisiatif membantu rakyat terus dilaksanakan.
"Kalau kita nak turunkan harga minyak, kita kena tengok pada harga (lebih rendah daripada) RM2.05 sen setiap liter itu, berapa jumlah wang yang kerajaan perlu belanjakan (untuk subsidi).
"Harga minyak mentah ketika ini ialah AS$80 bagi setiap tong. Ini bermakna kerajaan perlu bagi subsidi RM1 bagi setiap liter dan kekalkan harga pada RM2.05," katanya.
Menyentuh desakan agar harga minyak diturunkan yang kembali dimainkan oleh pembangkang ketika ini, Rafizi berkata, kerajaan tidak mahu mengambil langkah populis, sebaliknya, lebih mengutamakan kebajikan rakyat dengan menambah baik infrastruktur asas dan gaji penjawat awam.
"Kalau nak menang PRN (Pilihan Raya Negeri) mudah, saya dan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) boleh kata 'Jom! Kita turunkan harga minyak 20 sen, habis semua orang akan undi.
"Tetapi ini maknanya akan ada gaji cikgu yang dipotong, akan ada projek perumahan rakyat miskin tidak berjalan, bekalan air seperti di Kelantan tidak dapat diperbaiki dan anak-anak yang masuk universiti kita tidak boleh bantu," kata Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat itu. - BERNAMA
#Rafizi Ramli #Hutang negara #harga minyak #Gaji penjawat awam
;