Waktu puncak trafik antara 5 hingga 6 petang pada Ramadan - PLUS

Bernama
Mac 9, 2024 16:25 MYT
PLUS menyarankan semua pengguna lebuh raya supaya merancang perjalanan mereka dan mengelak daripada bergerak pada waktu puncak untuk lebih keselesaan. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: PLUS Malaysia Berhad (PLUS) akan mengambil beberapa langkah proaktif untuk memastikan kelancaran operasi lebuh raya dan plaza tol terutama pada waktu puncak sepanjang Ramadan kelak.
Syarikat konsesi lebuh raya itu memaklumkan antara langkah diambil ialah memastikan semua lorong masuk dan keluar di plaza tol beroperasi sepenuhnya, selain menyediakan alat bantuan mudah alih pembaca pembayaran tol dan alat bantuan sokongan di plaza tol kendaliannya.
"Di samping itu, semua kerja penyelenggaraan di plaza tol ditamatkan sebelum 4.30 petang bagi mengelakkan sebarang gangguan kelancaran.
"PLUS juga akan menambah jumlah kakitangan barisan hadapan di plaza tol serta menugaskan pasukan bantuan teknikal di plaza tol dalam keadaan bersiap sedia," katanya dalam kenyataan di sini.
Sehubungan itu, PLUS mengingatkan pengguna lebuh raya supaya memastikan kad Touch 'n Go atau e-Wallet (bagi mereka yang menggunakan RFID) sentiasa mempunyai baki mencukupi sebelum memulakan perjalanan untuk mengelak kesulitan dan melancarkan perjalanan pengguna lain ketika melalui plaza tol untuk pulang berbuka di rumah.
Berdasarkan data serta pola pergerakan trafik Ramadan yang lalu, PLUS menjangkakan waktu puncak pulang bekerja adalah di antara pukul 5 hingga 6 petang, apabila jumlah kenderaan akan berada pada tahap tertinggi pada setiap hari bekerja.
Sehubungan itu, PLUS menyarankan semua pengguna lebuh raya supaya merancang perjalanan mereka dan mengelak daripada bergerak pada waktu puncak untuk lebih keselesaan.
Pengguna lebuh raya juga digalakkan supaya memuat turun Aplikasi PLUS bagi memudahkan mereka merancang perjalanan dan mendapatkan maklumat trafik terkini di lebuh raya.
Secara alternatif, pengguna juga boleh mengikuti laporan trafik terkini menerusi Aplikasi X @PLUSTrafik, Chatbot PUTRI, saluran radio utama negara serta papan tanda elektronik (VMS) di lokasi terpilih atau menghubungi PLUSLine di 1800-88-0000 untuk bantuan semasa kecemasan, serta menggunakan Aplikasi Waze atau Google Maps untuk mendapatkan pelan perjalanan dengan lebih baik.
-- BERNAMA
#PLUS #waktu puncak #Ramadan 2024 #info trafik terkini
;