Waktu perkhidmatan LRT, MRT dan Monorel esok dilanjutkan sehingga 1 pagi - RapidKL
Bernama
Disember 30, 2022 17:20 MYT
Disember 30, 2022 17:20 MYT
KUALA LUMPUR: Bagi memenuhi keperluan operasi sempena malam Tahun Baru 2023 beberapa stesen Transit Aliran Ringan (LRT), Transit Aliran Massa (MRT) dan Monorel akan dilanjutkan operasinya esok sehingga pukul 1 pagi.
Rapid KL menerusi hantaran di laman media sosial mereka memaklumkan stesen-stesen yang terlibat bagi laluan LRT Ampang atau Sri Petaling ialah stesen Masjid Jamek, Maluri, IOI Puchong dan PWTC.
Bagi laluan LRT Kelana Jaya pula, stesen KLCC dan Masjid Jamek, sementara laluan MRT Kajang di stesen Bukit Bintang dan Maluri, manakala laluan KL Monorel, hanya di stesen Bukit Bintang.
Menurut RapidKL, stesen-stesen lain akan ditutup seperti biasa, namun penumpang masih boleh keluar di stesen tersebut.
"Pengguna juga disaran menggunakan kad Touch N Go dan pastikan baki mencukupi untuk kelancaran perjalanan," katanya.
-- BERNAMA