Waktu operasi pasar borong Fasa 2 dan Fasa 3 dibenar mengikut PBT
Faris Danial Razi
Oktober 6, 2021 18:57 MYT
Oktober 6, 2021 18:57 MYT
KUALA LUMPUR: Waktu beroperasi pasar borong di Fasa 2 dan Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN) kini dibenarkan mengikut syarat lesen dan permit Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) seperti mana yang ditetapkan dengan syarat pekerja divaksin lengkap dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sedia ada.
Menurut Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dalam satu kenyataan, kelonggaran itu akan mula berkuat kuasa 9 Oktober (Sabtu) ini.
Selain itu, pelaksanaan Upacara Mengikat Thaali di rumah ibadat kuil bagi agama Hindu dan Pernikahan Kudus (Holy Matrimony) bagi agama Kristian dibenarkan dalam tempoh PPN.
Jelas Hishammuddin, Kementerian Perpaduan akan memaklumkan kepada Persatuan Agama Hindu dan Persatuan Agama Kristian berhubung SOP yang perlu dipatuhi.
Kerajaan turut mengumumkan beberapa kali kelonggaran baharu seperti pengoperasian aktiviti lelongan awam bagi barangan sandaran di bawah sektor pajak gadai yang berdaftar di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
Bagaimanapun, ia adalah berdasarkan kepada syarat - syarat seperti berikut:
a. Pekerja dan pembida telah dilengkap vaksin
b. Hanya melibatkan 54 pelelong yang telah dikenal pasti di seluruh negara
c. Terhad kepada 30 minit per sesi pada 1 dan 7 haribulan setiap bulan
d. Kapasiti pekerja adalah berdasarkan Fasa iaitu:
• Fasa 2 : 60% kapasiti pekerja dan 50% pembida
• Fasa 3 : 80% kapasiti pekerja dan 80% pembida
• Fasa 4 : 100% kapasiti pekerja dan pembida.
Dalam pada itu, premis yang melibatkan sektor tembakau dan rantaiannya turut diumum dibenarkan untuk beroperasi di Fasa 2 PPN dan seterusnya.
Kerajaan turut mengesahkan dua lagi negeri bakal beralih ke Fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) seterusnya selepas setelah mengambil kira penilaian risiko semasa oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).