Waktu operasi kedai makan, stesen minyak, klinik swasta di Sarawak dipendekkan

Rudi Affendi Khalik
Mac 22, 2020 17:29 MYT
Keputusan itu dibuat untuk menghentikan pergerakan awam yang dilihat masih bebas di tempat-tempat tertentu. - Foto Astro AWANI
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak pada Ahad memutuskan bahawa semua pasar raya, kedai kopi, klinik swasta, restoran, kedai-kedai serbaneka 24 jam dan stesen minyak boleh beroperasi dari jam 7 pagi hingga 7 malam setiap hari.
Arahan ini berkuat kuasa di seluruh Sarawak bermula 24 Mac hingga 31 Mac ini.
Keputusan dibuat selepas mesyuarat harian JPBN Sarawak di Bilik Gerakan Negeri di Wisma Bapa Malaysia pada Ahad.
Malah, keputusan itu untuk menghentikan pergerakan awam yang dilihat masih bebas di tempat-tempat tertentu.
Bagaimanapun, ia tidak akan menjejaskan pihak yang bertugas dalam penguatkuasaan operasi seperti polis, tentera, pekerja perubatan dan pegawai imigresen.
Keperluan baharu itu adalah satu lagi strategi jawatankuasa tersebut untuk memerangi COVID-19 dari transmisi selanjutnya.
Mengenai isu lain, semua pasar raya, farmasi dan klinik swasta kini diperlukan untuk melakukan penjarakan sosial di premis masing-masing.
Susulan itu pihak polis akan memantau pelaksanaan secara rawak, malah pemilik juga dinasihatkan untuk melakukan pemeriksaan suhu terhadap pelanggan mereka serta menyediakan cecair pembasmi kuman.
#bilik gerakan #COVID-19 #kedai kopi #Klinik swasta #pasar raya #Sarawak #stesen petrol
;