Waktu kerja fleksibel untuk wanita perlu dilaksanakan - TPM Wan Azizah
Bernama
Jun 10, 2018 16:32 MYT
Jun 10, 2018 16:32 MYT
Waktu bekerja secara fleksibel bagi golongan wanita dalam bidang pekerjaan yang relevan perlu dilaksanakan di negara ini, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Beliau berkata ia bagi mengoptimumkan peranan dan sumbangan wanita dalam sektor pekerjaan di samping terus komited menyeimbangkan tanggungjawab mereka sebagai seorang isteri dan ibu.
"Kita perlu fikirkan bagaimana kaum ibu boleh sesuaikan diri dalam pasaran pekerjaan. Kita mempunyai ramai wanita yang berpendidikan tinggi dan memperoleh pencapaian yang amat baik. Dalam masa sama, mereka ada anak-anak untuk dijaga serta menyusukan anak.
"Kalau kita tidak terokai peluang yang ada ini, ia menjadi satu kerugian kepada negara. Waktu fleksibel memang bukan mudah tetapi ia boleh diketengahkan untuk sesuatu yang lebih efisien," katanya dalam temu bual dengan Bernama di sini.
Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata pendekatan waktu bekerja fleksibel boleh dikaji secara lebih mendalam supaya kaedah itu diterima dengan baik dan terbuka dalam kalangan majikan.
"Kita tahu ada majikan yang asalkan tugasan jalan, ada atau tidak ada di pejabat, itu masih boleh diterima. Namun, ada majikan yang sedikit 'cara lama', apabila tiada di pejabat, nampak macam tidak buat kerja.
"Sebab itu, kita perlu kajian supaya waktu fleksibel ini dapat diterima. Majikan selalu fikir kalau buat kerja di rumah, nanti ponteng dan sebagainya, pemikiran sedemikian perlu tukarlah bagi sesetengah bidang. Asalkan siapkan tugas, anda harus dapat bayarannya," kata beliau.
Berkenaan aspek pembangunan keluarga, Dr Wan Azizah berkata beliau ingin mengetengahkan konsep keibubapaan dan kebersamaan antara ayah dan ibu kerana berpendapat peranan institusi keluarga sebenarnya digalas oleh bapa.
"Saya mahukan konsep yang diistilahkan sebagai pembangunan keluarga, unitnya haruslah terdiri daripada bapa dan ibu bersama-sama menyumbang. Janganlah semuanya 'tanya emak, tanya emak'.
"Dalam Al-Quran seperti dalam Surah Luqman, di mana Luqman adalah seorang yang bijak. Dia bijak dan telah memberi nasihat kepada anaknya. Ini (peranan) bapa...jadi pentingnya, pada saya, untuk kaum bapa juga perlu bersama.
" Untuk pembentukan dan pembangunan sesebuah keluarga itu tercapai, ia perlukan kedua-duanya saling menyantuni supaya kaum ibu terbela, itu yang saya nampak," kata beliau.
-- BERNAMA
#bekerja
#fleksibel
#kaji
#keibubapaan
#keluarga
#majikan
#pekerjaan
#Timbalan Perdana Menteri
#Wan Azizah Wan Ismail
#wanita