Wakil Yayasan Tun Jugah sertai pameran Minggu Kraf London 2023

Bernama
April 27, 2023 05:30 MYT
Tiga wakil Yayasan Tun Jugah yang akan menyertai pameran sempena Minggu Kraf London 2023 ialah Melia Linggi, Shirley Vilin dan Janet Rata Noel. - Foto ihsan Tun Jugah Foundation
KUCHING: Tiga wakil Yayasan Tun Jugah di sini akan menyertai pameran yang akan diadakan sempena Minggu Kraf London 2023 bermula dari 6 hingga 14 Mei ini.
Wakil berkenaan termasuk Pemegang Amanah Pengurusannya Melia Linggi, Kurator Muzium Janet Rata Noel dan penenun Shirley Vilin yang akan mempamerkan dua produk tekstil Iban yang terkenal, iaitu kebat Iban dan pua Kumbu.
Menurut kenyataan yayasan itu pada Khamis, pameran berkenaan akan dianjurkan oleh Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah melalui yayasannya, Yayasan Tenun Pahang Diraja.
Pameran itu akan diadakan di Suruhanjaya Tinggi Malaysia London, beralamat di 45 Belgrave Square SW1 bermula dari 11.00 pagi hingga 5.00 petang setiap hari, menurut kenyataan itu.
Ditubuhkan pada 1985, Yayasan Tun Jugah ditubuhkan antara lain untuk memelihara dan mempromosikan kaedah tradisional tenunan Iban bagi memberi pemahaman lebih mendalam tentang tekstil dan tradisi tenunan Iban, demi kepentingan tempatan dan antarabangsa.
-- BERNAMA
#Yayasan Tun Jugah #Raja Permaisuri Agong #Yayasan Tenun Pahang Diraja #Minggu Kraf London 2023
;