Wakil Tetap baharu Malaysia serah watikah pelantikan kepada Setiausaha Agung ASEAN
Bernama
Mac 7, 2023 05:17 MYT
Mac 7, 2023 05:17 MYT
JAKARTA: Wakil Tetap Malaysia ke ASEAN, Nur Izzah Wong Mee Choo, menyerahkan watikah pelantikannya kepada Setiausaha Agung ASEAN Dr Kao Kim Hourn di Sekretariat ASEAN, di sini pada Selasa.
Bekas pesuruhjaya tinggi ke New Zealand itu menerima watikah pelantikan daripada Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir pada 14 Februari.
Nur Izzah, 54, anak jati Kedah itu pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Bahagian Inspektorat sejak 2014, sebelum dilantik sebagai pesuruhjaya tinggi ke New Zealand pada 2017.
Beliau juga pernah berkhidmat di Kedutaan Malaysia di Beijing dari 2000 hingga 2004 sebagai Setiausaha Kedua.
Di Kementerian Luar, beliau pernah bertugas sebagai Penolong Setiausaha Bahagian Inspektorat dan berkhidmat di Jabatan Hal Ehwal Pelbagai Hala, Bahagian Asia Timur dan Selatan, Bahagian Penerangan dan Bahagian ASEAN.
-- BERNAMA