Wakil rakyat PR gesa PAC siasat punca kerugian MAS

Haider Yutim
Jun 11, 2015 06:55 MYT
Hanipa berkata alasan yang diberikan MAS untuk memberhentikan pekerja merupakan alasan yang tidak boleh diterima dan meragukan. - Gambar Fail
Beberapa Ahli Parlimen Pakatan Rakyat hari ini menggesa Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mengadakan siasatan terhadap punca kerugian syarikat Penerbangan Malaysia (MAS).
Menurut Hanipa Maidin (PAS-Serdang), satu siasatan untuk mencari punca yang menyebabkan syarikat itu gagal mendapat keuntungan selama ini sehingga terpaksa memberhentikan pekerja.
“Kita minta selagi siasatan tidak dibuat, segala pemberhentian kerja itu hendaklah dihentikan.
“Kami menyokong tindakan Persatuan Kebangsaan Anak Kapal Kabin Malaysia (NUFAM) dan gesa supaya kerajaan mengambil kira tindakan NUFAM membuat piket ... kerana itu hak mereka,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen pada Khamis.
Katanya, alasan yang diberikan MAS untuk memberhentikan pekerja tidak boleh diterima dan meragukan.
“Semua tahu bahawa MAS telah disalah urus. Ini menunjukkan bahawa tidak ada satu komitmen yang jelas daripada MAS untuk mencari punca syarikat itu rugi… tetapi pekerja-pekerja yang jadi mangsa,” kata Hanipa.
Tegas beliau, kerugian MAS itu berpunca dari tadbir urus yang salah dan bukannya atas sebab lain.
“Mereka harus hentikan proses (pemberhentian) ini sehingga PAC mengenalpasti siapa yang menjadi punca kerugian tersebut,” katanya lagi.
Hanipa disertai oleh dua lagi Ahli Parlimen Pakatan Rakyat iaitu Abdullah Sani Abdul Hamid (PKR-Kuala Langat) dan V.Sivakumar (DAP-Batu Gajah) yang turut menggesa supaya siasatan dilakukan terhadap MAS.
Pada 1 Jun, seramai 6,000 petugas syarikat penerbangan MAS dimaklumkan tidak akan menerima surat tawaran bagi berkhidmat dengan syarikat baharu.
Daripada 20,000 surat pemberhentian tugas yang telah dikeluarkan, hanya 14,000 daripadanya yang akan menerima tawaran kerja di syarikat baharu di bawah nama MAS NewCo yang diterajui Christoph Mueller.
Tindakan itu mendapat tentangan dari NUFAM yang mendesak MAS untuk menarik balik surat-surat pemberhentian kerja bagi 6,000 kakitangan tersebut atau mereka akan melancarkan mogok.
Presiden NUFAM Ismail Nasaruddin berkata kakitangan yang terlibat juga perlu diambil bekerja semula.
#Abdullah Sani #Hanipa Maidin #MAS #PAC #Pakatan Rakyat #Sivakumar