Wakil rakyat patutnya utamakan usaha gubal polisi elak musibah berlaku - Tharma Pillai
Israr Khalid
Januari 5, 2022 09:39 MYT
Januari 5, 2022 09:39 MYT
KUALA LUMPUR: Seseorang wakil rakyat itu seharusnya memainkan peranan untuk menggubal dasar yang mensejahterakan kehidupan rakyat.
Kata Pengasas Bersama Undi18, Tharma Pillai, tidak mengetepikan tanggungjawab memastikan kebajikan rakyat terjaga, tetapi akarnya adalah menyelesaikan permasalahan rakyat sebelum berlakunya musibah.
Atas sebab itu pada asasnya, tegas Tharma, mereka dipilih untuk mewakili rakyat di Parlimen.
“Bukan sahaja menteri atau wakil rakyat yang laju nak memberikan bantuan tetapi lebih penting adalah memastikan masalah ini tidak berlaku pada awalnya.
“Saya rasa itu perkara yang kurang kita bincangkan sebagai rakyat Malaysia, apakah polisi-polisi atau langkah pembangunan yang perlu dilakukan seterusnya untuk mengurangkan isu-isu bencana sebegini,” katanya.
Katanya, usaha menangani bencana ini pokoknya perlu digerakkan oleh kerajaan yang memiliki keupayaan dari pelbagai segi khususnya dana untuk melancarkan setiap gerak kerja yang diperlukan.
Beliau turut menekankan bahawa semua ini saling berkaitan, pembangunan infrastruktur dan juga pengurusan alam sekitar dalam usaha kita mengatasi bencana dengan lebih baik di masa hadapan.
Isu seperti pembalakan, pencemaran, sumber asli dan tempat tadahan air antara yang perlu diberi perhatian khusus dan penambah baikan yang lebih cekap.
Tonton temu bual penuh bersama beliau dalam program Agenda AWANI dihoskan oleh Nazri Kahar, di sini:
Wakil rakyat patut utamakan usaha gubal polisi elak musibah berlaku - Tharma Pillai
Agenda AWANI: Gugurkan menteri prestasi buruk