Wakil rakyat Pahang diminta amal politik matang, jujur dan ikhlas
Astro Awani
Ogos 23, 2021 12:22 MYT
Ogos 23, 2021 12:22 MYT
KUANTAN: Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah menasihatkan semua wakil rakyat di Pahang agar mengamalkan politik lebih matang, jujur dan ikhlas demi membantu rakyat serta memajukan negara.
Titah baginda lagi, rakyat dan negara tidak sewajarnya dibebani dengan kemelut politik dan perebutan kuasa yang tidak berkesudahan.
Menurut baginda, semua wakil rakyat perlu berpegang kepada prinsip mendahulukan rakyat dan menggunakan peluang untuk berbahas secara rasional.
"Suka saya ingatkan kepada semua wakil rakyat, ini bukan masa untuk kita berebut kuasa. Ini bukan masanya untuk kita semua bersengketa. Ini bukan masanya untuk kita banyak berbicara tanpa membuat apa-apa.
“Sebaliknya, ini masanya untuk kita semua bersama demi negara, negeri dan rakyat jelata. Dalam keadaan wabak pandemik rakyat menaruh harapan tinggi kepada kita semua," titah baginda.
Baginda bertitah demikian pada sidang pembukaan sempena mesyuarat pertama penggal keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-14 di Wisma Sri Pahang di sini, pada Isnin.
Tengku Hassanal turut merakamkan ucapan tahniah kepada Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang dilantik sebagai Perdana Menteri Kesembilan.
Baginda berharap Ismail Sabri dapat menjalankan tugas dan tanggung jawab diamanahkan sebaik mungkin.