Wakil rakyat, agensi kerajaan diminta turun padang, selami isu rakyat secara lebih dekat
Ridauddin Daud
September 13, 2021 12:40 MYT
September 13, 2021 12:40 MYT
KUALA LUMPUR: Wakil rakyat dan semua agensi kerajaan perlu bertindak proaktif dengan turun padang untuk meninjau dan menyelami isu rakyat secara lebih dekat serta memantau pencapaian program diumumkan kerajaan.
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, beberapa perkara perlu diberi tumpuan termasuk program jaringan keselamatan sosial seperti inisiatif Wilayah Cakna, Skim Wilayah Bebas Berniaga dan Program Usahawan Anak Muda Kota.
Titah Baginda, inisiatif sebegitu dilihat berupaya meringankan bebanan warga kota.
“Program pembangunan luar bandar hendaklah terus ditingkat dan diperkasakan. Ketika ini, sejumlah 7.6 juta warganegara adalah merupakan penduduk luar bandar termasuk 198,015 orang penduduk Orang Asli.
"Kerajaan hendaklah menentukan pelan strategik pembangunan luar bandar dalam Rancangan Malaysia Ke-12 yang meliputi infrastruktur, ekonomi, keusahawanan, modal insan dan sistem penyampaian dapat dilaksanakan bagi meningkatkan taraf hidup masyarakat luar bandar.
“Inisiatif untuk membantu masyarakat luar bandar dalam menghadapi pandemik COVID-19 juga wajar diteruskan bagi meringankan bebanan mereka,” titah baginda pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-14 hari ini.
Seri Paduka Baginda turut bertitah supaya kerajaan memberi tumpuan kepada penyediaan infrastruktur perkhidmatan jalur lebar ke seluruh negara bagi pembentukan ekosistem digital yang lebih baik.
“Usaha ini kelak bakal mendorong transformasi sistem penyampaian kerajaan, membantu pertumbuhan ekonomi serta meningkat keupayaan perniagaan perusahaan kecil dan sederhana.
Dasar jangka sederhana dan panjang turut diperkenalkan dalam RMK-12
“Persekitaran mesra digital serta penggunaan automasi dan teknologi tinggi boleh menjadi pemangkin kepada negara untuk beralih daripada industri berintensifkan buruh kos rendah kepada industri berteknologi tinggi.
“Di samping itu, ia boleh memberi peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia dan seterusnya berupaya untuk mengurangkan penggunaan tenaga buruh asing,” titah Baginda.
Ikuti semua kandungan ini di laman mikro Sisi TV Parlimen serta di semua platform media sosial Astro AWANI sepanjang sidang Parlimen ini berlangsung.