Wakil rakyat ada tauliah dilarang ceramah di masjid, surau di Perak

Abd Razak Mohd Ali
Disember 13, 2022 13:48 MYT
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang mempunyai tauliah daripada Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) dilarang memberi ceramah di masjid dan surau di seluruh negeri itu, kata Datuk Seri Saarani Mohamad. - Gambar fail
IPOH: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) atau wakil rakyat yang mempunyai tauliah daripada Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) dilarang memberi ceramah di masjid dan surau di seluruh negeri itu.
Penegasan itu dikeluarkan ekoran garis panduan dalam pekeliling yang dikeluarkan JAIPk selaras dengan titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah mengenai larangan terhadap orang politik.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, beliau sendiri perlu mematuhi larangan tersebut walaupun memegang portfolio agama Islam.
“Menteri Besar adalah Exco Agama Islam, dijemput untuk berucap selepas solat Jumaat, saya tidak berucap.
“Saya minta maaf kerana saya tahu sudah ada pekeliling, larangan. Sebab apa? Sebab saya orang politik. Jadi, mana-mana ADUN yang saya faham ADUN-ADUN yang sebelum ini adalah merupakan pemegang tauliah ataupun ustaz yang menyampaikan kuliah, tapi sekarang dia telahpun menjadi wakil rakyat, bermakna dia orang politik. Jadi tertakluk, terikat dengan pekeliling tersebut, seperti mana juga saya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas program Selamat Pagi Saarani di Jabatan Penyiaran Malaysia Perak, di sini, pada Selasa.
Menteri Besar mengulas dakwaan seorang bekas wakil rakyat di Perak bahawa terdapat seorang ADUN yang dikatakan memberi kuliah Maghrib pada Ahad lalu.
Menurutnya, JAIPk akan memantau perkara tersebut dan mengambil tindakan yang sewajarnya, termasuk menarik semula tauliah yang diberikan.
#wakil rakyat #ceramah #masjid dan surau #negeri perak
;