Wakil perdagangan AS kunjungi Anwar di Putrajaya

Bernama
Februari 17, 2023 11:48 MYT
Katherine Tai (kanan) dalam rangka lawatan sehari ke Malaysia di mana beliau turut bertemu Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz. - Bernama
PUTRAJAYA: Wakil Perdagangan Amerika Syarikat (AS) Katherine Tai mengunjungi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Putrajaya hari ini bagi membincangkan mengenai kepentingan hubungan perdagangan dan pelaburan antara kedua-dua negara serta komitmen untuk mengukuhkan kerjasama bagi meningkatkan hubungan ekonomi dua hala.
Tai, wakil perdagangan tertinggi AS di bawah pentadbiran Presiden Joe Biden sedang dalam rangka lawatan sehari ke Malaysia di mana beliau turut bertemu Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Menurut satu kenyataan daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) , Anwar yang mengalu-alukan kedatangan Tai ke Malaysia menekankan bahawa Malaysia dan AS menikmati hubungan dua hala yang dinamik dan mendalam yang telah lama terjalin dengan hubungan perdagangan dan pelaburan yang meluas.
Pertemuan antara Anwar dan Tai di Perdana Putra itu turut dihadiri Tengku Zafrul dan Duta AS ke Malaysia Brian D. McFeeters.
Pada 2022, jumlah perdagangan antara Malaysia dan AS berkembang sebanyak 23.3 peratus kepada RM267.58 bilion (AS$60.70 bilion) berbanding RM216.97 bilion (AS$52.33 bilion) pada 2021.
Ketika ini AS merupakan rakan dagang ketiga terbesar Malaysia selepas China dan Singapura.
Menurut kenyataan itu, Tengku Zafrul memuji peranan AS dalam merintis Rangka Kerja Ekonomi Indo-Pasifik bagi Kemakmuran (IPEF), kerjasama perdagangan serantau dengan 14 anggota yang membincangkan mengenai pemudahan perdagangan; daya tahan rantaian bekalan; tenaga bersih, penyahkarbonan dan perubahan iklim serta cukai dan rasuah.
Menurutnya, penting bagi IPEF untuk menggariskan keputusan bagi mencapai objektif perdagangan dan pelaburan bersama di rantau Indo-Pasifik.
Dalam menyesuaikan diri kepada trend perniagaan semasa, kedua-dua Tengku Zafrul dan Tai bersetuju bahawa pematuhan terhadap prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) dalam perniagaan adalah langkah kehadapan yang penting.
Tengku Zafrul turut melahirkan hasrat untuk terlibat dalam perbincangan secara menyeluruh dengan AS, Pengerusi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) 2023 dan ekonomi APEC lain dalam meningkatkan agenda inovasi, pendigitalan, keterangkuman dan kemampanan terutamanya untuk menggerakkan pertumbuhan Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS).
Menurutnya, Malaysia percaya tema APEC 2023 "Mewujudkan Masa Depan Yang Berdaya Tahan dan Mampan bagi Semua" adalah sesuai dan relevan bagi menangani cabaran ekonomi semsa dalam usaha mencapai matlamat APEC.
"Sebagai anggota pengasas APEC, Malaysia dan AS memainkan peranan penting dalam mencapai matlamat APEC terutamanya dalam meyokong realisasai Wawasan 2040 Putrajaya yang dilancarkan semasa Malaysia menjadi pengerusi APEC pada 2020," katanya.
-- BERNAMA
#Anwar Ibrahim #perdagangan #Amerika Syarikat #Katherine Tai
;