Wakil pelajar UM dikenakan tindakan tatatertib anjur pidato Anwar Ibrahim

Astro Awani
November 1, 2014 10:34 MYT
Prosiding yang melibatkan presiden dan wakil pelajar itu akan diadakan pada Jumaat. - Sumber Foto Facebook Fahmi Zainol
Presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya, Fahmi Zainol dikenakan sembilan dakwaan tatatertib atas penganjuran 'Pidato Umum Anwar Ibrahim 40 Tahun: Dari UM ke Penjara' di premis Universiti Malaya, pada Isnin.
Fahmi dikenakan dakwaan tatatertib di bawah Seksyen 16B Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 atas anjuran yang menampilkan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Notis prosiding itu dikongsi Fahmi di laman Facebooknya pada Jumaat, di mana pelajar jurusan Sastera dan Sains Sosial itu menyatakan prosiding bakal diadakan pada Jumaat (7 Nov).
Lampira notis prosiding pertuduhan tatatertib ke atas wakil pelajar dan presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM), Fahmi Zainol. - Sumber Foto Facebook Fahmi Zainol
Antara pertuduhan tatatertib ke atas Fahmi termasuk menghadiri atau menyertai perhimpunan tanpa mendapatkan kebenaran daripada pihak universiti yang telah berlangsung di dalam kawasan kampus utama UM.
Dalam perhimpunan itu, seramai lebih kurang 1,000 pelajar dilaporkan telah merempuh masuk pintu pagar UM untuk memasuki kawasan Dewan Tunku Canselor untuk mendengar perbahasan Anwar.
Ahli politik berusia 62 tahun itu turut ditemani isterinya yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan anak perempuan Nurul Izzah untuk menyampaikan ucapannya dalam debat anjuran PMUM itu.
Anwar terpaksa berucap di dalam kegelapan selepas pihak universiti mula menutup pintu-pintu utamanya seawal jam 4 petang, untuk kerja-kerja penyelanggaraan elektrik.
#40 Tahun: Dari UM ke Penjara #Fahmi Zainol #premis Universiti Malaya #Presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya
;