Wakil Ku Li gagal batalkan keputusan PRU15 Parlimen Gua Musang
Sinar Harian
Februari 26, 2023 14:30 MYT
Februari 26, 2023 14:30 MYT
KOTA BHARU: Mahkamah Tinggi di sini pada Ahad mengesahkan kemenangan Datuk Mohd Azizi Abu Naim sebagai Ahli Parlimen Gua Musang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.
Dalam keputusan yang berpandukan Seksyen 36 (1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 itu, beliau berkata, mahkamah menerima tiga isu yang dibangkitkan responden iaitu berkaitan tempoh masa petisyen difailkan, kaedah peguam pempetisyen dilantik dan kegagalan pempetisyen memperincikan tuduhan rasuah terhadap kemenangan responden.
“Petisyen ini didapati difailkan dengan tidak mematuhi undang-undang kerana melepasi had masa 28 hari seperti yang termaktub dalam Seksyen 38 akta sama.
“Pelantikan peguam cara pempetisyen untuk membayar cukai dan duti setem adalah mandatori serta penting kerana petisyen pilihan raya melibatkan kepentingan awam selain keputusan PRU adalah amalan demokrasi,” katanya.
Menurut Roslan, mahkamah juga mendapati pempetisyen gagal memperincikan dakwaan rasuah termasuk fakta berkaitan ejen pemberi rasuah yang tidak dijelaskan identitinya.
“Pempetisyen turut gagal menjelaskan bagaimana dakwaan rasuah itu memberi kesan kepada kemenangan responden dengan majoriti tipis 163 dan kaitan individu bernama Ustaz Wadi dengan Mohd Azizi sekali gus menyebabkan petisyen itu tidak sah serta cacat,” katanya.
Responden diwakili barisan peguam, Wan Rohami Wan Daud, Nik Baharum Nik Abdullah, Yusfarizal Yusuff dan Mohd Faizi Che Abu manakala pempetisyen diwakili peguam Datuk Abu Bakar Isa Rahmat, Mohamed Baharudeen Mohamed Ariff dan Norhazira Abu Hayyan.
Pada 3 Januari lalu, Mohd Azmi memfailkan petisyen tersebut bagi membatalkan kemenangan Mohd Azizi yang bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) dengan mendakwa berlaku sogokan berbentuk wang RM50 kepada beberapa penduduk bagi meraih undi.
Mahkamah itu pada 8 Februari lalu membatalkan petisyen yang sama terhadap Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Gua Musang, Ab Fatah Hasbullah (responden kedua) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (responden ketiga) dengan kos RM6,000.
Pada PRU15, Mohd Azizi (PN-Pas) menang dengan memperoleh 21,826 undi dalam pertembungan empat penjuru menewaskan Tengku Razaleigh yang mendapat 21,663 undi, Asharun Uji (Pakatan Harapan) 4,517 undi dan Samsu Adabi Mamat (Gerakan Tanah Air) 371 undi.
* Artikel asal disiarkan di Sinar Harian.