Wakil kedutaan Korea Utara di Ibu Pejabat Imigresen dipercayai untuk urusan pengusiran
Bernama
Mac 3, 2017 12:32 MYT
Mac 3, 2017 12:32 MYT
Kehadiran Kaunselor Kedutaan Korea Utara Kim Yu Song di Ibu Pejabat Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di sini hari ini menjadi tumpuan kerana dipercayai berkaitan urusan penghantaran pulang warganya Ri Jong Chol ke negara asal.
Jong Chol, 47, yang tamat perintah tahanan remannya hari ini setelah direman sejak 18 Feb untuk membantu siasatan berhubung pembunuhan Kim Jong-nam, abang pemimpin Korea Utara Kim Jong Un, dibawa ke Jabatan Imigresen itu kira-kira 9.20 pagi untuk proses dokumentasi penghantaran pulang.
Jong-chol yang tiba dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang, tempat beliau ditahan ketika reman, dalam kawalan ketat.
Yu-song kelihatan memasuki bangunan JIM pada 10.10 pagi dan keluar kira-kira dua jam kemudian.
Beliau yang diserbu media asing dan tempatan hanya mengulangi "no comment" walaupun diasak bertalu-talu oleh wartawan yang sudah lama menunggu di perkarangan Ibu Pejabat JIM.
Antara soalan yang ditanya termasuklah sama ada beliau bertemu Jong Chol, keadaan dan keluarga Jong-chol serta maklumat penerbangannya.
Jong Nam berada di KLIA2 pada 13 Feb bagi menaiki penerbangan ke Macau apabila tiba-tiba dihampiri dua wanita yang dikatakan menyapu mukanya dengan tangan yang dilumur bahan beracun.
Jong Nam, yang menggunakan pasport tertera nama Kim Chol, meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya.
Dua wanita asing iaitu Siti Aisyah, 25, warga Indonesia dan Doan Thi Huong, 28, warga Vietnam, dituduh di Mahkamah Sesyen Sepang pada Rabu lepas atas tuduhan membunuh Jong-nam.
-- BERNAMA