Wakil DAP P. Pinang buat laporan polis terhadap Tajuddin
Bernama
Oktober 29, 2022 15:43 MYT
Oktober 29, 2022 15:43 MYT
GEORGE TOWN: Wakil DAP Pulau Pinang hari ini membuat laporan polis berhubung kenyataan berbau perkauman, oleh penyandang kerusi Parlimen Pasir Salak Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman terhadap bekas Menteri Kewangan Lim Guan Eng.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima Syerleena Abdul Rashid berkata, pihaknya mahu polis menjalankan siasatan terhadap Tajuddin, kerana kenyataannya disifatkan sebagai menyentuh sentimen perkauman.
"Penyandang Parlimen Pasir Salak itu dalam wawancara tersebut, telah membuat beberapa dakwaan dan kenyataan yang palsu malah menyentuh sentimen perkauman, yang boleh menimbulkan kemarahan orang ramai," katanya ketika ditemui selepas membuat laporan polis bersama penyandang Parlimen Jelutong RSN Rayer di sini hari ini.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Soffian Santong mengesahkan dua wakil dari DAP hari ini membuat laporan polis berhubung perkara itu, namun enggan mengulas lanjut.
Sebelum ini media melaporkan Lim yang juga Pengerusi DAP, mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap Tajuddin berhubung kenyataan penyandang kerusi Parlimen Pasir Salak itu, sewaktu menjadi ahli panelis program Wacana Sinar, mendakwa Lim menjadikan Kementerian Kewangan sebagai tokong Cina selain meminggirkan pegawai Melayu.
-- BERNAMA