Wakaf Quran Mu'jam: Lebih 30,000 al-Quran berjaya dikumpul

Astro Awani
April 14, 2020 11:18 MYT
Sebahagian petugas barisan hadapan Institut Kanser Negara memanfaatkan sumbangan al-Quran diwakafkan orang ramai menerusi Program Wakaf Quran Mu'jam. - Foto Sinar Harian
Program Wakaf Quran Mu’jam untuk disalurkan ke hospital, pusat kesihatan dan pusat kuarantin di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) berjaya mengumpul sebanyak 30,315 naskhah al-Quran sejak dilancarkan 3 April lalu.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Marhaini Yusoff, sumbangan dibuka sehingga hari ini (14 April) berikutan WUIF terus menerima permohonan untuk mengaktifkan #QuranCorner.
"Sasaran awal agihan hanya untuk sekitar 200 lokasi dari 2,774 lokasi termasuk 120 pusat kuarantin namun pihak WUIF terus menerima permohonan untuk mengaktifkan #QuranCorner & Troli Ibadah di lokasi masing-masing," katanya menurut laporan Sinar Harian.
Marhaini dipetik berkata, pihaknya mendapat banyak bantuan untuk agihan lebih menyeluruh melalui kerjasama mantap dengan Jakim, Jabatan Kesihatan Negeri, pihak hospital serta wakil Rumah Ngaji negeri.
Menurutnya, #QuranCorner & Troli Ibadah telah mula diaktifkan di hospital dan berada di wad-wad, sementara sesi #QuranTime mengikut pendekatan Malaysia #QuranTime menerusi siaran TV AlHijrah juga telah mula diadakan di hospital.
“Semoga mukjizat al-Quran menyentuh dan menyapa hati kita semua untuk menambah keimanan kita.
“Semoga dengan pendekatan berinteraksi dengan al-Quran (baca, faham dan amal) akan membawa kita memahami apa mesej Allah kepada kita, menjadi terapi, merawat dan menyembuhkan kita.
“Semoga dengan ujian Covid-19 ini menjadi momentum besar untuk melahirkan negara, pemimpin dan rakyatnya yang jauh lebih baik dari sebelum ini," katanya.
#Al-Quran #Hospital #interaksi dengan al-Quran #JAKIM #kuarantin #Marhaini Yusoff #pesakit #Quran Mu jam #QuranCorner #QuranHour #QuranTime #rawatan #terapi #wakaf #WUIF #Yayasan Warisan Ummah Ikhlas
;