Wak Mail sudah meninggal dunia
Sinar Harian
Jun 1, 2022 10:20 MYT
Jun 1, 2022 10:20 MYT
TELUK INTAN: Seorang warga emas yang menjadikan tandas awam di Gerai Rakyat 1Malaysia, Jalan Wah Keng Jooi di sini sebagai tempat berteduh sejak lima tahun lalu ditemui meninggal dunia dalam keadaan terbaring di kerusi rehat di kawasan itu pada Selasa.
Keadaan mangsa dikenali sebagai Wak Mail berusia lingkungan 60-an itu disedari orang awam yang melihat mangsa tidak sedarkan diri dan terbaring di kerusi rehat terbabit sekitar jam 7.45 pagi.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, pemeriksaan ke atas mayat mangsa tidak menemui sebarang kecederaan dan kesan perbuatan jenayah.
Menurutnya, butir diri mangsa masih dikesan melalui pemeriksaan salinan cop jari serta dengan menghubungi rakan-rakan yang mengenalinya.
"Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Teluk Intan untuk ujian saringan awal Covid-19 dan bedah siasat bagi mengetahui sebab-sebab kematian," katanya kepada pemberita di sini pada Rabu.
Beliau berkata, seorang peniaga di situ memberitahu, mangsa kali terakhir dilihat pada Isnin di tandas awam berkenaan.
Katanya, peniaga tidak mengetahui asal usul mangsa kerana tidak pernah nampak ahli keluarga atau saudara mara datang berjumpa mangsa di situ.
"Difahamkan mangsa tinggal di tandas awam tersebut untuk menumpang berteduh sejak lima tahun lalu.
"Buat masa ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.
Orang ramai yang mengenali mangsa diminta tampil membantu untuk mengesan waris terdekat dengan menghubungi Inspektor Al Ikhsan Borhan di talian 017-6731800 bagi membantu siasatan.
*Berita asal di Sinar Harian