Wajibkan vaksinasi COVID-19, elak 'kelompok culas'

Ts Mohd Soffian Osman
Ogos 27, 2021 18:36 MYT
Mohd Soffian berpendapat, sudah tiba masanya kerajaan mewajibkan suntikan vaksin COVID-19 di negara ini. - Gambar fail/ Astro AWANI.
BEBERAPA hari yang lalu kecoh berkenaan penahanan pasangan suami isteri bagi membantu siasatan setelah perkongsian mereka melakukan eksperimen sosial ‘dine-in’ di kedai makan tanpa vaksinasi lengkap seperti yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) termaktub dalam prosedur operasi standard (SOP) bagi Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Disebabkan ketegaran mereka melanggar SOP, serta keghairahan bereksperimen dan berkongsi di media sosial, mereka bakal berdepan dengan beberapa pertuduhan di bawah Seksyen 269, Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan, Seksyen 22 (b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Seksyen 233 Akta Suruhanjaya Komunikasi Malaysia yang membawa hukuman denda atau penjara atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Kemudiannya tular berita seorang anggota tentera berpangkat sarjan yang diberhentikan daripada perkhidmatannya kerana kegagalan beliau mengikut perintah Tentera Darat Malaysia yang mewajibkan setiap anggota untuk divaksinasi sebelum melaksanakan sesuatu penugasan.
Beliau telah didakwa di bawah Akta Angkatan Tentera 1972 dan seterusnya menerima arahan pemberhentian perkhidmatan berkuat kuasa 26 Ogos ini, selain berkemungkinan kehilangan pencen yang layak diperolehinya.
Pada masa yang sama, kita turut dikejutkan dengan pendedahan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Johor, Mazlan Bujang bahawa terdapat kira-kira 779 guru di negeri itu yang dilaporkan menolak menerima vaksin COVID-19.
Beliau mendedahkan perkara tersebut ketika menjawab soalan dalam Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang ke-14 pada Ahad lalu.
Ini adalah tiga contoh di antara banyak lagi kisah-kisah berkaitan yang membuktikan wujudnya kumpulan individu yang menolak vaksin yang turut dikenali sebagai golongan antivaksin, mahupun golongan ‘pro-safe’.
Umum sedia maklum bahawa semenjak Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan dilancarkan pada 24 Februari lalu dan sehingga ke hari ini, penerimaan vaksinasi tersebut oleh individu dewasa berumur 18 tahun ke atas adalah secara sukarela.
Namun demikian, dalam situasi semasa dengan kes positif harian melebihi 20,000 kes dan jumlah kes aktif sebanyak 264,292 kes (setakat 25 Ogos), saya kira sudah tiba masanya untuk kerajaan mewajibkan vaksinasi tersebut kepada semua individu yang layak menerimanya.
Hal ini adalah bagi memastikan sasaran kerajaan dalam mewujudkan imuniti berkelompok (herd immunity) dapat dicapai dengan kadar segera dan seterusnya dapat membendung penularan wabak COVID-19 dalam kalangan rakyat negara ini.
Seterusnya, ia juga mampu mengekang propaganda golongan antivaksin daripada mempengaruhi mana-mana individu dewasa yang layak untuk menerima vaksin yang kemudiannya mewujudkan kelompok ‘culas’ yang sentiasa cuba mengambil kesempatan atas kelompongan dan kelemahan perlaksanaan SOP yang telah ditetapkan.

*Ts Mohd Soffian Osman ialah Perunding Keselamatan dan Kesihatan Awam, Safety Management Academy
**Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
#program vaksinasi #antivaksin #Wajib #undang-undang
;