Wajibkan saringan COVID-19 terhadap pekerja asing keputusan tepat
Astro Awani
Disember 25, 2020 17:19 MYT
Disember 25, 2020 17:19 MYT
KUALA LUMPUR : Kerajaan membuat keputusan tepat apabila mewajibkan semua pekerja asing di Malaysia menjalani saringan COVID-19 bermula 1 Disember lepas.
Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, dengan kes sudah melepasi angka 100,000, beliau berharap majikan dan pekerja asing dapat memberikan kerjasama kepada kerajaan.
Menurutnya, majikan juga perlu memberikan maklumat tepat kepada pekerjanya tentang bahaya COVID-19 supaya mereka lebih mudah memberikan kerjasama.
“Ramai pekerja asing tidak fasih Bahasa Melayu atau Bahasa Inggeris. Saya rasa majikan harus memilih satu kaedah yang terbaik untuk memastikan informasi, maklumat betul dapat disebarkan kepada pekerja mereka.
“Salah satu yang boleh dibuat, kita tahu pekerja asing ada daripada Bangladesh, India dan Myanmar. Saya harap sekiranya ada masalah untuk komunikasi dalam Bahasa Melayu, majikan bolehlah mengupah penterjemah.
“Jadi, semua informasi kepada mereka dalam mengetahui kepentingan saringan ini bolehlah disampaikan kepada mereka dalam bahasa yang mereka faham,” katanya ketika bersiaran secara langsung dalam Buletin AWANI pada Jumaat.
Tambahnya, pemantauan terhadap pekerja asing juga wajar diberikan perhatian.
Jelasnya, tidak salah sekiranya seorang pekerja asing dilantik untuk menjadi ketua dan melakukan pemantauan supaya semua pekerja faham situasi dihadapi dan bersedia tampil ke hadapan untuk menjalani saringan.
Kes positif COVID-19 dalam negara melepasi angka 100,000 semalam dengan 1,581 kes baharu.
Sepanjang bulan Disember, Malaysia hanya merekodkan angka harian tiga digit untuk dua hari, dengan selainnya angka empat digit.
Menurut unjuran Institute for Health Metrics and Evaluation (IHME), kes harian negara dijangka mencecah 5,000 pada hujung Februari depan.
#Lee Lam Thye
#pekerja asing
#warga asing
#majikan
#kilang
#India
#Myanmar
#Bangladesh
#COVID-19
#kes positif
#saringan
#kes import
#Ikatan Komuniti Selamat