Wajarkah pilihan raya kerajaan tempatan dikembalikan di Malaysia?
Luqman Hariz
Januari 14, 2019 16:33 MYT
Januari 14, 2019 16:33 MYT
RAMAI dalam kalangan kita yang mungkin memberi perhatian kepada demokrasi di dua peringkat utama negara: Parlimen dan Dewan Undangan Negeri.
Tetapi tahukah anda akan demokrasi peringkat ketiga di dalam sistem Malaysia?
Ia demokrasi di peringkat kerajaan tempatan, kebolehan untuk penduduk sesuatu kawasan itu untuk mengundi bukan saja Ahli Parlimen dan Ahli DUN, tetapi juga Datuk Bandar mereka, dan ahli-ahli tertinggi Dewan Bandaraya atau Majlis Perbandaran mereka.
Berlandaskan manifesto Pakatan Harapan, sesetengah pihak kini menyeru supaya pilihan raya kerajaan tempatan diadakan semula.
Pilihan raya kerajaan tempatan diamalkan di Malaysia dahulu, sebelum ia dihentikan sekitar tahun 1964.
Sebelum ini, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan tidak akan mengembalikan pilihan raya kerajaan tempatan buat masa ini kerana risau ada kebarangkalian ia akan menyemarakkan ketegangan kaum.
Kekhuatiran ini lahir daripada tanggapan bahawa di sesetengah bandar yang didominasi sesetengah kaum, mungkin ramai pengundi akan cenderung menyokong calon dari kalangan kaum mereka saja.
Tetapi Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah, masih tekad untuk memperjuangkan pengembalian pilihan raya kerajaan tempatan.
“Apa yang kita hendak adalah supaya perkhidmatan menjadi lebih bagus, dan kalau kita tidak suka apa yang ahli majlis buat, kita boleh tukar.
“Sekarang kita tak boleh tukar kerana mereka semuanya dilantik oleh parti politik,” katanya.
Sementara itu, antara pihak yang lantang menentang pilihan raya kerajaan tempatan dikembalikan adalah Pas.
“Dari segi demografi yang ada di negara ini, kita bimbang nanti satu kaum akan mewakili suatu majlis perbandaran itu.
“Dia akan berlaku kelompok, apabila di bandar nanti dikuasai satu kelompok dan di luar bandar pula oleh kelompok yang lain,” kata Naib Presiden Pas Idris Ahmad ketika ditemu bual rancangan Pilihan AWANI 13 Januari lalu.
Beliau turut menolak kritikan bahawa pendirian Pas ini bersifat rasis.
“Bukan soal perkauman atau tidak. Kita lihat sejarah negara kita berbeza dengan tempat lain, perlu kita rasakan selama ini bahawa apa yang kita lakukan selama ini mendatangkan kebaikan kepada majlis kerajaan tempatan itu sendiri,” katanya.
Bagaimanapun, kekhuatiran mengenai ketidakseimbangan kaum atau jurang antara penduduk bandar dan luar bandar ditolak oleh ahli akademik, Dr Chandra Muzaffar.
“Kalau kita tengok dari segi demografi, majoriti kerajaan tempatan yang beroperasi sekarang terdiri daripada masyarakat Melayu yang merupakan majoriti di negara kita – hampir 85 peratus.
“Hujah daripada pihak tertentu bahawa (pilihan raya kerajaan tempatan) akan mengakibatkan tahap ketiga demokrasi kita dikuasai oleh masyarakat Cina, tidak tepat sama sekali.
Chandra berkata beliau kurang pasti atas dalil apa sesetengah pihak menentang pilihan raya kerajaan tempatan.
“Mungkin kerana mereka belum ada fakta-fakta yang tepat tentang demografi kerajaan tempatan.
“Mungkin mereka masih terperangkap dalam pemikiran 1960-an, di mana memang benar kebanyakan majlis bandaran dan tempatan pada masa itu kebanyakannya dikuasai oleh masyarakat Cina.
“Tapi ini dah berubah sama sekali ekoran urbanisasi yang telah berlaku sejak 40 tahun yang lalu,” katanya.
Bagaimana Indonesia lakukannya?
Untuk debat ini mungkin kita tidak perlu lihat jauh, sebaliknya hanya kepada negara jiran, Indonesia.
Negara demokrasi Islam terbesar itu sudah pun mengamalkan pilihan raya kerajaan tempatan sejak sekian lama, dan bakal melalui proses pemilihan umum dan pemilihan presidennya pada April.
Titi Anggraini, Direktur Eksekutif Perkumpulan untuk Pemilu dan Demokrasi (Perludem) berkata, walaupun Indonesia banyak persamaan dengan Malaysia, tidak semestinya formula sama boleh diguna pakai.
“Tentu tidak ada sistem yang paling ideal buat satu-satu negara.
“Sistem yang cocok untuk Indonesia misalnya, belum tentu cocok untuk Filipina. Sistem yang cocok untuk Myanmar, belum tentu baik untuk Kemboja,” katanya.
Beliau berkata, Malaysia perlu berhati-hati dalam menganalisa keperluan dan kemahuan semua pemegang kepentingan sebelum membuat keputusan untuk mengembalikan pilihan raya kerajaan tempatan.
“Apa yang diperlukan untuk menentukan satu sistem (yang sesuai) untuk sesuatu negara, adalah konsensus atau kesefahaman antara elemen-elemen yang ada dalam sesuatu negara.
“Yang harus dicari oleh Malaysia adalah satu sistem yang betul-betul mencerminkan apa yang diperlukan oleh kelompok-kelompok yang ada di Malaysia saat ini.
“Bukan untuk kepentingan sekadar majoritas, tetapi juga yang mampu mewakili minoritas.
“Di dalam demokrasi, tidak boleh minoritas itu dipinggirkan, katanya.
#chandra muzaffar
#Dewan Bandaraya
#Dewan Perbandaran
#Dewan Undangan Negeri
#Idris Ahmad
#Indonesia
#Khalid Samad
#Majlis Perbandaran
#Manifesto
#Maria Chin Abdullah
#PAS
#pbt
#Pemilu
#pilihan raya
#pilihan raya tempatan
#Pilpres