Wajah Muhammad Akil Syauqi jernih, tersenyum - Bekas pengasuh

Adie Sufian Zulkefli
Julai 11, 2024 11:30 MYT
Siti Fadilah ditemui ketika hadir ke pengebumian Muhammad Akil Syauqi di Tanah Perkuburan Islam Kampung Banggol Berangan, Baling, malam tadi. - Foto Astro AWANI
BALING: Kehilangan Muhammad Akil Syauqi Nur Sufyan sangat mengejutkan di usianya yang masih muda.
Demikian luahan bekas pengasuh kanak-kanak malang yang meninggal dunia akibat memakan makanan ringan yang disyaki mengandungi racun tikus dalam kejadian Ahad lalu.
Peket makanan ringan itu disangkut pada dawai pagar rumah jiran di Kampung Padang Ubi, Labu Besar, di Kulim, oleh seorang pemilik kebun, dikatakan untuk memerangkap monyet.
Menurut Siti Fadilah Hashim, 46 tahun, dia yang dipanggil ‘mama’ oleh arwah sangat sedih kerana kanak-kanak berusia tiga tahun itu amat disayangi mereka sekeluarga.
Katanya, dia sempat melihat jenazah Muhammad Akil Syauqi di Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang (HPP) dan menyaksikan wajah yang jernih dan seperti tersenyum.
Katanya, ketika dia menggosok badan kanak-kanak itu sambil memandikan jenazahnya, hatinya sayu melihat wajah arwah yang sedikit bengkak.
Siti Fadilah turut terkenangkan saat sewaktu menjaga arwah yang disifatkannya sebagai anak yang penyayang dan tidak banyak ragam.
"Memang sayang betul padanya, macam anak kita sendiri, sebab dia manja.
"Terkejut dan tak sangka dengan apa yang berlaku. Kita pun tak sangka mereka (pelaku) nak letak racun (pada makanan ringan)," katanya.
Fadilah ditemui ketika hadir ke pengebumian Muhammad Akil Syauqi di Tanah Perkuburan Islam Kampung Banggol Berangan, di sini, malam tadi.
Katanya, dia hanya sempat menjaga kanak-kanak itu sejak usianya enam bulan hingga adiknya, Muhammad Luth Syauqi, 2 tahun, lahir. Selepas itu, dia tidak lagi menjaga arwah.
Katanya, sepanjang menjaga arwah, dia dan suami sering membawanya berjalan-jalan.
"Kami memang sayang betul padanya. Tambahan pula, suami apabila balik bercuti dan pergi ke mana-mana, memang akan bawa dia.
"Kalau emak dia kata hendak ikut sekali, emak dia pun kami bawa pergi berjalan.
"Kenal tak lama, tetapi memandangkan kami mengasuh dia, (hubungan) jadi rapat," katanya.
Astro AWANI sebelum ini melaporkan, dua beradik lelaki berusia dua dan tiga tahun kritikal selepas makan keropok, Ahad lalu.
Keropok mengandungi racun tikus itu dipercayai bertujuan menghalau kera liar dan babi hutan yang mengancam tanaman pemilik kebun berkenaan.
Muhammad Akil Syauqi disahkan meninggal dunia jam 8.40 pagi semalam dan selamat dikebumikan malam tadi.
#racun tikus #keropok beracun #Kulim #Muhammad Akil Syauqi Nur Sufyan
;