Wahid Omar berikan sebab beliau jadi pemandu Uber

Kohilah Sekaran
Jun 18, 2016 13:10 MYT
Wahid membuat kejutan apabila tampil sebagai seorang pemandu Uber. - Foto: Facebook Firdaus Fadzil
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Abdul Wahid Omar membuat kejutan apabila tampil sebagai seorang pemandu Uber.
Firdaus Fadzil, pengguna aplikasi Uber nyata teruja untuk melihat Wahid sebagai pemandu kereta Uber yang ditempahnya.
Menerusi satu kenyataan Facebook semalam, Firdaus berkongsi kisah perjalanannya dengan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank itu.
“Perjalanan ke pejabat dengan Uber dengan salah seorang maestro korporat dan ekonomi yang paling berjaya dengan Perdana barunya,” tulis Firdaus sambil memuat naik gambarnya dengan Wahid.
Menurut Firdaus, dia pada mulanya tidak sangka kereta yang ditempah olehnya adalah milik seorang pemimpin.
Firdaus menaiki kereta yang dipandu Wahid itu dari Putrajaya ke stesen KL Sentral.
Beliau turut merasai dirinya sebagai bertuah kerana dapat bertemu dengan bekas menteri itu.
Sementara itu, kakak kepada pengarah filem, Yasmin Ahmad, Datin Orked Ahmad sempat berkongsi perbualan WhatsApp beliau dengan Wahid di akaun Facebooknya.
Apabila ditanyakan mengenai sebab beliau mengambil keputusan itu, Wahid berkata ia merupakan sesuatu yang ingin dilakukan sejak awal tetapi tidak dapat berbuat demikian kerana masih bertugas sebagai menteri.
Tambahan pula pada masa itu, kerajaan masih dalam pertimbangan untuk memutuskan peraturan operasi perkhidmatan teksi Uber.
“Ia adalah sesuatu yang saya ingin lakukan sejak awal, tetapi tidak dapat berbuat demikian sebagai seorang menteri, malah ketika itu, kerajaan masih belum memutuskan tentang peraturan operasi perkhidmatan teksi Uber,” kata Wahid menerusi WhatsApp kepada Orked.
Tambah Wahid, ia merupakan inisiatif peribadi dengan tiga matlamat.
1. Untuk mendapat pengalaman sebagai seorang pemandu Uber serta merasai bebannya.
2. Mempromosi kereta baharu Proton, Perdana sebagai kereta eksekutif negara.
3. Mengumpul sedikit dana untuk tujuan kebajikan
Wahid berkata beliau mendaftar diri sebagai pemandu Uber pada 16 Jun lalu, dan sempat mengambil lapan penumpang pada hari Jumaat dari jam 9 pagi hingga 4 petang. Beliau kemudian menyambung perkhidmatannya pada pagi Sabtu.
“Setakat ini, saya mendapat ‘top up’ sebanyak 30 kali.
“Ini bermaksud, perjalanan dari Putrajaya ke KL Sentral yang berjumlah RM30 berjaya mendapat kutipan RM900 untuk kebajikan. Alhamdulillah,” kata Wahid.
#Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri #Tan Sri Abdul Wahid Omar membuat kejutan apabila tampil sebagai seorang pemandu Uber.
;