"Wahai rakyat Malaysia, kawallah kemarahan anda!" -- Matthew Chan
Agensi
Jun 10, 2013 13:34 MYT
Jun 10, 2013 13:34 MYT
BAHANG Pilihan Raya Umum ke-13 masih belum reda. Sebaliknya, suara-suara agar pilihan raya umum diadakan semula di kawasan Parlimen yang mana keputusannya diragui, semakin kuat kedengaran. Menurut mereka, keputusan PRU di 30 buah kawasan Parlimen diragui.
Semuanya gara-gara kerana tindakan pihak berkepentingan yang mendakwa bahawa PRU ke-13 lalu dicemari dengan penipuan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Anehnya, sikap dan perlakuan yang ditonjolkan mereka nyata bercanggah dengan apa yang cuba didokongnya. Alasan oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang diberi nama ABU bahawa satu-satunya jalan untuk mengembalikan demokrasi di Malaysia ialah dengan menumbangkan parti pemerintah merupakan satu penghinaan kepada demokrasi negara.
ABU perlu sedar usaha menumbangkan kerajaan sedia ada menerusi demonstrasi jalanan tidak semudah yang digambarkan. Ini kerana, usaha itu bukan semudah ‘menukar baju dan seluar’ semalaman.
Kumpulan ABU ini bukan sahaja tidak berfikir panjang bahkan penuh yakin bahawa usaha menumbangkan kerajaan akan menyelesaikan masalah penipuan pilihan raya serta kepincangan demokrasi dalam sekelip mata. Tetapi apa yang tidak disedari oleh ABU bahawa masih banyak aspek yang perlu diberi perhatian jika mahu melihat agenda nekad mereka itu menjadi kenyataan.
Ternyata, desakan oleh ABU kepada rakyat Malaysia untuk menumbangkan parti pemerintah sedia ada yang dipilih secara demokratik tidak mewakili suara hati 28 juta penduduk di Malaysia.
Sebaliknya, desakan itu tidak lebih daripada perbuatan pihak yang terdesak untuk memenuhi agenda peribadi masing-masing. Bagaimana pula dengan sebahagian besar rakyat Malaysia lain yang cintakan keamanan? Apakah ini adil bagi kumpulan rakyat Malaysia yang cintakan keamanan? Apakah suara hati mereka tidak penting?
Nampaknya, segelintir rakyat Malaysia begitu emosional dan marah dengan keputusan PRU-13 lalu. Apa tidaknya, keputusan akhir PRU-13 tidak memihak kepada parti yang disokong mereka. Tidak salah untuk mereka merasa marah.
Tetapi di sebalik kemarahan meluap-luap itu, perlulah kumpulan rakyat ini untuk berfikir sejenak mengenai impak jangka panjang demonstrasi mereka terhadap kepentingan nasional khasnya melibatkan kestabilan ekonomi negara. Jangan menang sorak, kampung tergadai.
Pada masa sama, kumpulan rakyat Malaysia ini juga wajar menyalurkan kemarahan mereka menggunakan saluran yang betul. Mereka perlulah menguruskan kemarahan mereka atau anger management dengan bijak agar ia tidak akan menjejaskan kualiti kehidupan mereka.
Pastinya, setiap daripada kita pernah merasa marah dengan insiden-insiden yang kurang menyenangkan. Boleh jadi kemarahan itu terhadap anggota keluarga terdekat kita, rakan-rakan di sekolah mahupun rakan seperjuangan di tempat kerja.
Namun kemarahan itu tidak seharusnya dijadikan sebagai alasan untuk melepaskan geram terhadap pihak yang dibencinya. Setiap agama mengajar umatnya untuk tidak berburuk sangka sebaliknya menuntut untuk berbuat baik kepada semua biarpun pihak yang dimaksudkan itu pernah melakukan kejahatan kepada kita. Hanya dengan cara itu, barulah pengisian sebenar agama dapat dicapai.
PRU-13 sudah sebulan berlalu. Rakyat sudah pun bersuara. Maka kerana itu, keputusan PRU-13 wajar dihormati oleh semua pihak. Tiada gunanya untuk pihak yang kalah untuk terus mempolitik dan mempolemikkan keputusan PRU-13.
Sehubungan itu, gesaan Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong dalam perutusan sempena Hari Keputeraannya pada 1 Jun lalu yang mahu semua pihak untuk menerima keputusan PRU-13 wajar disahut dengan hati yang terbuka.
Sudah sampai masanya untuk wakil-wakil rakyat yang dipilih pada PRU-13 lalu, turun ke padang dan menunaikan tanggungjawab masing-masing dengan sebaik mungkin. Inilah masa terbaik untuk memacu Malaysia ke hadapan!
______________________________________________________________
INI merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan Astro Awani.