Wad ortopedik dan traumatologi HKL terbakar

Astro Awani
September 19, 2020 01:25 MYT
Kebakaran tersebut berlaku di wad ortopedik dan traumatologi di tingkat empat bangunan berkenaan. - Foto ihsan pembaca
Satu kejadian kebakaran dilaporkan telah berlaku di Hospital Kuala Lumpur (HKL) malam tadi.
Memetik laporan The Malaysian Insight, jurucakap HKL memaklumkan kebakaran tersebut berlaku di wad ortopedik dan traumatologi di tingkat empat bangunan berkenaan.
Bagaimanapun, difahamkan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Beberapa gambar berserta video kejadian turut dimuat naik di laman media sosial Twitter.
Situasi menunjukkan sebilangan pesakit terpaksa dipindahkan ke ruang tingkat bawah hospital tersebut.
Menurut laporan Bernama, stor menyimpan fail di tingkat empat HKL terbakar sehingga menyebabkan beberapa pesakit terpaksa dipindahkan ke kawasan lapang.
Komander Operasi Kanan PBK II Hamzah Mohd Isa dipetik berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 11.07 malam dan bergegas ke tempat kejadian dengan sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Titiwangsa, serta pasukan forensik dengan kekuatan lapan anggota.
“Setibanya jentera di lokasi kejadian, didapati kebakaran melibatkan stor yang menyimpan fail berkeluasan 8x12 kaki persegi.
“Kemusnahan dianggarkan 10 peratus namun tidak melibatkan mangsa,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Hamzah, kebakaran berjaya dikawal kira-kira 11.35 malam dan punca kejadian masih dalam siasatan.
Tinjauan agensi berita itu mendapati, sehingga jam 1.10 pagi, pesakit sudah kembali ke wad masing-masing, selepas pasukan Bomba dan Penyelamat selesai menjalankan siasatan di lokasi kejadian.
#bomba #HKL #Hospital #Hospital Kuala Lumpur #kebakaran #Kuala Lumpur #mangsa #operasi #pesakit #siasatan #terbakar #Wad ortopedik dan traumatologi
;