Wad kelas tiga percuma untuk rakyat Terengganu

Bernama
Julai 4, 2018 06:45 MYT
Rakyat negeri Terengganu bakal mendapat rawatan perubatan wad kelas tiga secara percuma tidak lama lagi. -Gambar hiasan
Rakyat negeri ini bakal mendapat rawatan perubatan wad kelas tiga secara percuma tidak lama lagi, kata Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengajian Tinggi negeri, Dr Alias Razak.
Beliau yang juga anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Tunggal juga berkata kemudahan itu bakal dinikmati oleh semua rakyat tanpa mengira latar belakang ekonomi dan taraf hidup.
"Semua draf dan dokumen akhir telah pun siap cuma tunggu untuk dibentangkan dalam mesyuarat Exco nanti.
"InsyaAllah kita akan laksanakan perkara ini dalam tahun ini juga. Semua golongan tidak kira kaya dan miskin akan dapat menikmati insiatif ini di semua hospital kerajaan seluruh negeri.
"Kerajaan negeri akan membayar caj yang dikenakan ke atas pesakit oleh kementerian kesihatan yang terletak di bawah kerajaan pusat," katanya ketika menggulung titah ucapan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini pada Rabu.
Dalam pada itu, Razak berkata kerajaan juga akan mengagihkan kad sejahtera seperti yang dijanjikan dalam manisfesto Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 selewat-lewatnya hujung tahun ini.
"Kad sejahtera ini kita akan agihkan kepada rakyat yang berpendatan rendah di seluruh negeri. Sekarang ini kita dah kenal pasti 6,000 keluarga yang berada di dalam rekod e-kasih dan Projek Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT).
"Namun ini bukanlah jumlah yang muktamad kerana kita akan minta pegawai kita kenal pasti lebih ramai rakyat yang layak bagi memastikan mereka mendapat kemudahan tersebut," katanya.
Kad bernilai RM500 itu akan diberikan kepada golongan berpendapatan rendah bagi membolehkan mereka membayar kos rawatan segera di klinik-klinik berdekatan jika mengalami masalah kesihatan.
-- BERNAMA
#ekonomi #Hospital #keluarga #Kementerian Kesihatan #kerajaan #kesihatan #perubatan #rakyat #Sultan Terengganu
;