Wad Diraja HSA belum digunakan kerana belum ada keperluan- Hilmi
Rahimah Abdullah
November 2, 2016 14:04 MYT
November 2, 2016 14:04 MYT
Wad Diraja Hospital Sultanah Aminah (HSA) yang ditawarkan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar susulan kebakaran yang memusnahkan Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital itu masih belum digunakan, Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya.
Ia berikutan jelas beliau, belum ada keperluan untuk menggunakan wad berkenaan buat masa ini.
"Wad Diraja itu masih belum digunakan lagi. Kami menjunjung kasih kepada Duli Tuanku yang memberikan tawaran untuk menggunakan wad baginda," katanya semasa ditemui di perkarangan lobi parlimen di sini hari ini.
Jelasnya, hospital sementara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah ditempatkan di perkarangan HSA yang menumpukan kepada kes rawatan kecemasan dan mula beroperasi Isnin lalu.
"Hospital sementara ATM itu untuk rawatan kecemasan. Hospital sementara itu yang telah dibawa ke HSA," tambahnya.
Setakat ini katanya, 13 dewan bedah dikenal pasti musnah dalam kebakaran dan tidak boleh digunakan sepenuhnya.
"Setakat ini kita sudah agihkan kerja-kerja yang perlu dibuat di bahagian bangunan itu termasuk kita tutup 12, satu kes lagi (dewan bedah) jauh sikit. Semua tidak boleh pakai. Semua kerja-kerja sepatutya di situ sudah dipindah ke hospital lain termasuk Hospital Sultan Ismail (HSI), dimana pakar pergi dengan kumpulan sokongan sendiri ke hospital terbabit," jelasnya.
Pada masa sama katanya, operasi ICU HSA juga sudah dipindahkan ke HSI susulan kejadian itu.
Pada 26 Oktober lalu, enam pesakit terdiri daripada empat wanita dan dua lelaki maut dalam kebakaran di ICU HSA itu.
Susulan itu, Sultan Ibrahim pada hari kejadian menitahkan wad diraja HSA digunakan untuk menempatkan pesakit hospital berkenaan.